Wednesday, November 5, 2008

Peperangan yang tidak setara

Alija Ali Izetbegovic Siri ke 15


Sepanjang masa 43 bulan peperangan dan di sejauh 1,200 kilometer medan perbatasan, Tentera Republik Bosnia Herzegovina telah berjuang dengan melaksanakan 3,000 operasi pertahanan dan serangan. Ada yang merupakan kemenangan gemilang dan ada yang menjadi kekalahan tragik. Timbangan akhir pertempuran yang tak setara dan tak seimbang masih bukan menjadi penentuan muktamad. Peperangan di Bosnia dan untuk Bosnia tamat tanpa pemenang dan tanpa yang tertewas. Perdamaian yang dicapai dengan penamatan peperangan yang dahsyat ini mencerminkan keadaan keputusan “seri” ini.

Memandangkan keadaan bagaimana Tentera Bosnia dibangkitkan dan dibangunkan, penubuhannya dan melengkapkannya dianggap suatu keajaiban. Sekiranya menggunakan logik biasa ketenteraan, ia sepatutnya telahpun dicantas sebelum bertunas dan Bosnia ditakluki dalam beberapa bulan pertama sahaja. Pada mulanya tentera terdiri daripada kumpulan-kumpulan berani yang dirangkaikan secara longgar. Kebanyakannya berada pada tahap kompeni tetapi pada akhir peperangan ia mempunyai 96 briged di bawah 6 ketumbukan. 50% tentera regular berdaftar, dan 50% lagi polis regular dan polis bantuan atau sukarelawan yang mengambil bahagian mempertahankan desa halaman dan tempat tinggal mereka secara bersenjata atau tidak, di bawah kelolaan Liga Patriotik, Beret Hijau dan pertubuhan-pertubuhan lain.

Pada awalnya hanya seorang daripada lima orang askar memiliki senapang. Keadaan kemudiannya berubah dan kelengkapan kami bertambahbaik. Aku menerangkan keadaan ini sebagai respon kepada soalan akhbar German, Stern:

“Sejak mula lagi, dua proses berjalan serentak: kami menjadi bertambah kuat dan mereka (Serb) pula bertambah lemah. Walaupun kadar proses tak sama tetapi begitulah kecenderungannya. Askar infantri kami lebih hebat daripada mereka sejak sekian lama. Dengan kata lainnya, kecacatan kami adalah ketiadaan senjata berat, iaitu meriam artileri manakala mereka mempunyai askar infantri yang lemah. Memang ada banyak kejutan-kejutan yang pahit dan pedih untuk kami dan juga untuk mereka tetapi gambaran umumnya adalah kami mencapai perimbangan kekuatan dan kami telah menguasai inisiatif. Perimbangan ini adalah strategik kerana inisiatif-inisiatif adalah semata-mata taktik. Kalau tidak bagaimana kejayaan di Bihac, Kupres dan Sarajevo dapat diolahkan? Ada banyak faktor terlibat tetapi yang paling penting adalah faktor moral, faktor yang tidak mudah untuk dicerakinkan dan dianalisa. Apa yang kita saksikan adalah keazaman sepakat rakyat kami untuk terus hidup, kelangsungan rakyat yang telah dikondem untuk pelupusan.”


Sebenarnya, kombinasinya menarik terdiri daripada faktor “Timur” dan “Barat” yang memungkinkan Bosnia dipertahankan. Barat mengawal ruang udara iaitu ruang bebas penerbangan (bermakna pesawat militari Serb tidak dapat berlepas) dan memberi kami makanan melalui UNCHR (Suruhanjaya Pelarian PBB) dengan perlindungan UNPROFOR (topi biru). Negara-negara Islam pula membekalkan kami senjata. Kombinasi inilah yang menjadi sokongan kuat kepada perjuangan kami. Tetapi lebih daripada itu, tekad kami untuk mempertahankan diri kami, keberanian dan dayacipta rakyat kami, memainkan peranan penting demi mempertahankan Bosnia Herzegovina.

______________________________________________________________________-
Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropa.

Pada 1992 sehingga 1995, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.

Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003.

No comments: