Showing posts with label Foca. Show all posts
Showing posts with label Foca. Show all posts

Saturday, October 25, 2008

Meraih Sokongan

Alija Izetbegovic Siri Ke 6


Pada ucapanku di Perhimpunan Perwakilan, aku sebutkan:

“Saya tidak mendakwa sebagai mewakili umat Islam, kerana tidak sesiapa pun yang melantik saya, tetapi saya pasti bahawa saya betul apabila menyatakan hasrat dan cita-cita mereka apabila mengatakan mereka tidak akan rela Bosnia diperkotak-katikkan dan dipecah-belah.”

Aku membuat kesimpulan dengan komentar berkenaan tata hidup komunisme:

“……Percubaan besar-besaran untuk mencipta syurga dunia tanpa Tuhan dan manusia, malah menentang Tuhan dan manusia, telah berakhir dengan kegagalan.”

Ramai yang memberikan tepukan gemuruh dan ramai juga yang sebak serta mengesat air mata. Suatu halaman baru sejarah kami telah bermula.

Aku menjelajah merata tempat bagi meraih sokongan untuk kempen. Terlalu banyak perjumpaan yang diadakan hingga aku sudah terlupa. Perhimpunan di Novi Pazar, Foca dan Velika Kladusa yang paling menarik dan menjadi kenangan kerana kehadiran yang teramai. Tumpuan perhimpunan di Foca pada 25 Ogos 1990 adalah bagi memperingati janaza, pengkebumian orang Islam yang terbunuh semasa Perang Dunia Kedua. Walaupun lebih ramai umat Islam yang terbunuh pada peperangan tersebut berbandingkan orang lain, namun padang-padang pembunuhan tempat mereka terkorban tidak bertanda. Regim atheis sebelum ini tidak membenarkan sebarang bentuk peringatan keagamaan untuk mangsa-mangsa yang tidak bersalah itu.

Pada perhimpunan bertemakan “Foca tidak akan berulang”, aku merayu kepada 100,000 orang Islam yang hadir demi kedamaian dan kemaafan. Aku mengatakan bahawa pada tarikh tersebut umat Islam melepasi ujian sejarah yang getir. Aku menolak tanggapan bahawa puak Serb bertanggungjawab secara kolektif ke atas kekejaman pelampau Chetnik ke atas orang Islam.

Aku katakan bagi menenangkan hati dan membendung perasaan ramai, “Bagi kita, melihatnya dari perspektif Foca, hanya ada dua bangsa iaitu – pembunuh-pembunuh, dan mangsa-mangsa yang tidak bersalah.”

Kanak-kanak lelaki dan perempuan melontar bunga-bungaan daripada atas jambatan kepada tempat di mana umat Islam terbunuh 50 tahun yang lalu. Aku mencadangkan supaya menabur bunga ke atas kubur-kubur mangsa-mangsa yang berbangsa Serb dan orang ramai bersetuju. Malangnya semua ini idealisme yang tidak berguna. Pada 1992, peristiwa ngeri Foca terjadi semula, dalam bentuk yang lebih dahsyat. Penduduknya terbunuh dan ramai terpaksa melarikan diri. Semua masjid-masjid dimusnahkan termasuk masjid Aladza di Foca yang masyhur sedunia yang dibina pada abad ke 16.

Adakah apa-apa faedah pada percubaan untuk berbaik-baik, mencari muafakat dan mencapai perdamaian? Saya berpendapat ada manfaatnya. Usaha seperti itu iaitu percubaan demi mencari kedamaian tidak akan sia-sia.

____________________________________________________________________
Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropah.

Pada 1992 sehingga 1994, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.

Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003.

Wednesday, October 22, 2008

Penjara di Foca

Alija Izetbegovic Siri Ke 3



Aku dijatuhkan hukuman 14 tahun dengan kerja berat. Ini semata-mata kerana aku menulis satu risalah “Deklarasi Islam”. Pada mulanya, aku menaruh harapan kepada Mahkamah Agong. Aku tidak percaya bahawa aku akan berada di penjara sepanjang hayat semata-mata kerana sesuatu yang aku tulis. Namun, apabila Mahkamah Agong mengekalkan hukuman apabila bersidang setahun kemudian, ia amat menghampakan dan aku sedari bahawa mereka serious.


Apa yang mampu aku buat? Aku mengeluh panjang dan memulakan perjalanan yang tidak diketahui penghujungnya. Aku merasakan seolah-olah dihukum tahanan seumur hidup. Aku tidak gundah gelana dan ada masa-masa yang aku ceria. Aku bukan seorang wira kerana ia hanya persoalan keteguhan pegangan (istiqamah). Kita mengatakan sesuatu dalam kehidupan, sesuatu yang kita fikirkan dan mempercayai, dan kemudiannya datang waktu penentuan. Salah satu prinsip daripada ajaran Islam (ramai menganggapnya yang terpenting) adalah kita mesti meyakini dan menerima sesuatu yang berlaku itu sebagai kehendak takdir Allah. Sebenarnya, sebelum ini aku tidak memikirkannya sangat, tetapi apabila berhadapan dengan prospek menjalani seumur hidupku dalam penjara dan menghembus hayat nyawa bersama banduan-banduan, aku mengingatkan diriku tentang hakikat itu: satu pegangan yang teguh.


Aku mengekalkan akal yang waras dan para doktor mengatakan kesihatanku pun baik juga. Pada keseluruhannya, aku bersyukur kerana imanku, dan satu perkara lagi: kesetiaan dan dokongan moral anak-anakku.


Aku selalu bertanyakan diriku sendiri terutama pada hari-hari awal berikutan hukuman dijatuhkan samaada aku mempunyai ketabahan dan kecekalan untuk menghadapi dugaan yang mendatang. Tahun-tahun berlalu dan aku tidak nampak kehilangan kekentalan semangat untuk terus hidup. Tetapi aku lebih kerap memikirkan bahawa aku sudah agak berusia dan kematian tidak begitu jauh lagi. Berfikir seperti ini memberikan kelegaan dan aku menyimpannya dalam hatiku seolah-olah ia suatu rahsia yang besar.


Aku merenung bahawa musibah besar terpenjara ini telah mengelak diriku daripada beratus-ratus musibah kecil yang lain yang akan menelanku setiap hari, secara perlahan tetapi secara pasti. Ini suatu kemungkinan……

Pada waktu lain, aku cuba menjelajahi sesuatu keajaiban. Aku bertafakkur merenung dengan gigih sesuatu isu, yakin bahawa aku telah hampir tiba kepada kebenaran yang cuba dihambat, hakikat yang boleh dicapai. Sekiranya aku seorang pelukis, aku pasti pada waktu-waktu berkenaan kerana terhadnya perbendaharaan kata-kata, aku akan dapat melukiskan paparan dan gambaran yang sukar difahami. Pada masa seperti inilah aku memahami senilukis moden iaitu lukisan yang tidak difahami kecuali oleh penciptanya.


Selepas aku dapat menyesuaikan diri kepada kediaman baru dalam keadaan terpenjara ini, aku mula menulis catatan: renungan tentang hidup dan penentuan, agama dan politik, tentang buku-buku yang telah aku baca dan pengarang-pengarangnya, dan tentang segala hal yang berlegar di minda seorang tahanan selama dua ribu siang dan malam yang amat panjang masanya. Nota-nota ini menjadi 13 jilid ditulis sebesar saiz kertas A5 dengan tulisan halus dan sengaja dilakarkan secara cakar ayam yang sukar dibaca. Seorang rakan banduan telah menyeludupnya keluar dalam kotak set catur sehinggalah ia diterbitkan pada 1999.


Dengan hari-hari yang kian berlalu, ketabahanku menangani realiti kian pudar. Waktu-waktu yang paling merungsingkan adalah pada senja awal malam, masa aku terpaksa bertarung dengan perasaan murung. Aku teringat menulis tanpa cermat tentang hal ini kepada anakku Sabina dan mendapat jawapan balas daripadanya.


Dia menulis:


“ Anakanda tidak tahu bahawa ayahanda pun merasakan seperti ini tetapi perasaan murung ini juga menjelma pada diri anakanda apabila muncul kegelapan malam. Anakanda perlu menyibukkan diri melakukan sesuatu untuk membendungnya. Kadangkala kesedihan bercampur gaul dengan rasa takut dan kelemahan badan. Anakanda berasa sangat payah untuk keluar pada waktu seperti itu. Tetapi setelah anakanda keluar dan malam berlalu, perasaan itu lenyap. Anakanda merasai semua ketakutan diri, keraguan dan kedukaan muncul bersama keheningan senja dan anakanda renungi bahawa inilah keadaan jiwa dan minda mereka yang memilih arak dan dadah untuk mencari ketenangan. Anakanda memberitahu ayahanda hal ini kerana anakanda ingin ayahanda tahu bahwa anakanda pun mengalami perasaan yang sama, sekurang-kurangnya sebahagian, dan anakanda dapat bayangkan apa perasaan ayahanda. Penjara sudah tentu menyulitkan lagi keadaan ini kerana dalam situasi anakanda kebebasan di rumah memudahkan anakanda mengalaminya. Mungkin yang terbaik untuk ayahanda ialah melakukan sesuatu yang menghiburkan, membaca bahan yang ringan, mencuba teka silangkata atau menonton TV. Anakanda pasti adalah tidak elok untuk memikirkan atau menyerah kepada perasaan murung pada waktu berkenaan. Ia akan hanya membebankan ayahanda.


Ayahanda tentu sedar bahawa anakanda asyik mengulangi tetapi anakanda hanya mahukan kesenangan untuk ayahanda, jika boleh. Sebenarnya, apa yang paling diimpikan pada masa-masa berkenaan adalah kita bersama di rumah anakanda berada di ruang yang selesa dengan di jamu hidangan kopi yang enak. Tetapi sekurang-kurangnya ayahanda tahu bahawa anakanda sentiasa mengenang dan merindui ayahanda terutama pada kemunculan sore senja.”


----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropah.


Pada 1992 sehingga 1994, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.


Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003.