Setelah Stesyen Televisyen Sarajevo menyiarkan tentang penahanan kami, campurtangan mula menyusuli. Keseluruhan pagi dipenuhi dengan perbualan telefon dan kedatangan pelawat. Detik masa berlalu secara amat perlahan dan sehingga petang masih tiada hasil penyelesaian.
Suatu peristiwa telah memberikan kesan besar kepada kesudahan kejadian ini. Semasa kami di Lisbon, suatu pertempuran yang merupakan penentu berlaku di antara Tentera Yugoslav JNA dan orang awam yang bersenjata. Tentera Yugoslav melancarkan serangan terancang bertujuan untuk menawan bangunan Presiden. Mereka telah menghadapi tentangan hebat yang tidak diduga dari segenap arah. Mereka terpaksa berundur ke berek. Orang-orang kami pula berjaya mengepung markaz Pemerintah Tentera Kedua JNA di Bistrik dan akibatnya panglima Serb, General Kukanjac beserta semua staf am serta beratus orang pegawai dan askar termasuk kelengkapan terperangkap.
Sebaik saja anak aku, Bakir mengetahui tentang penahanan kami, dia pantas bertindak. Dia bertemu seberapa ramai pegawai yang sempat dikunjungi. Akhirnya, dia mencadangkan dan dipersetujui suatu pertukaran sesama tahanan dibuat di antara kami dan General Kukanjac beserta stafnya. Sebuah kereta perisai APC UNPROFOR mengambil kami berempat dan sewaktu dalam perjalanan itu, ternampak di kiri dan kanan jalan, banyak kenderaan dan kereta kebal yang musnah natijah pertempuran yang berlalu.
Di atas Jambatan Skenderija di seberang sungai kelihatan sebuah tram yang hangus terbakar. Kami melalui kawasan bandar yang telah kosong dan kontang ditinggalkan penghuni. Kami kemudian berhenti di luar Markaz Tentera Kedua JNA. Sebuah kereta kebal besar menghadang pintu masuk markaz. Kami keluar daripada APC. Suasana senyap dan sunyi sepi menyelubungi pada tengah hari musim panas yang cukup berseri. Tidak kelihatan langsung bibit konfrontasi yang sedang mengambang.
Aku telah dimaklumkan setelah peristiwa berlalu bahawa pasukan penembak sasar kami telahpun bersedia dan ditempatkan di atas bumbung bangunan-bangunan sekitar. Di halaman berek sekumpulan besar pegawai dan askar JNA bersedia untuk bergerak untuk beredar dari markaz itu.
Aku dan mereka yang bersamaku meninggalkan APC di atas Jambatan Skenderija iaitu garisan pemisah Sarajevo, dan terus pergi ke bangunan Presiden. Di situ, aku disambut seolah-olah macam seorang yang telah kembali daripada maut.
Tujuh tahun kemudian, seorang pembaca akhbar Avaz menanyakan tentang apa pengajarannya peristiwa berkenaan. Aku menjawab: “ Saya ingin mengatakan bahawa itulah harinya kita mengatasi ketakutan kita terhadap puak Chetnik (Militan Serb). Kita tidak perlu gentar lagi dan tidak lagi perlu takut akan satu kompleks kerendahan diri yang kita alami berdekad-dekad lamanya. Kita berdiri tegap, mengangkat muka kita dan kita berlawan. Kita menyedari kemampuan sebenar yang ada pada diri kita jika kita bangun dan menegakkan kebenaran. Ini mungkin hanyalah faktor moral dan psikologi tetapi ia amat bermakna dan penting untuk masa depan. Di Sarajevo tanggal 2 Mei 1992, adalah jelas bahawa belenggu psikologi sedemikian boleh dilepaskan."
Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropa.
Pada 1992 sehingga 1994, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.
Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003:
“….Pada perhimpunan ini, kita berkewajipan untuk merenungkan umat Islam, yang sedang menunjukkan “sabr” (kesabaran) yang tinggi. Negara ini adalah suatu penemuan bagi kita dan juga bagi dunia. Saya mengajak anda semua memberi tepukan untuk negara ini!” Semua hadirin bangun dan memberikan tepukan gemuruh………..”
Majlis Presiden tidak mampu menyelesaikan krisis politik. Mesyuarat demi mesyuarat diadakan kerap dengan jarak beberapa hari sekali. Musim bunga 1991 diwarnai dengan perjumpaan sedemikian di antara Ljubljana, Zagreb, Sarajevo dan seterusnya. Namun apabila Milosevic dan Tudjman bertemu, tidak ada apa-apa yang dapat dilakukan. Ia merupakan suatu detik masa yang sungguh tragik. Tidak disangkal lagi bahawa faktor manusia menyumbang besar kepada peristiwa-peristiwa yang melanda Yugoslavia. Ciri-ciri keperibadian kepimpinan Yugoslavia dan republik-republik memastikan kegagalan setiap perjanjian yang termeterai. Apa yang berlaku diwajahi dan disebabkan personaliti seperti Milosevic dan Tudjman. Kami orang Bosniak juga kurang bernasib baikkerana pada masa yang kritikal dan genting itu, sekumpulan individu yang malang memegang tampuk dan jawatan: Bush Sr., Major, Mitterand, Ghali, Akashi, Janvier, Rose dan ramai lagi. Pada pandangan kami mereka ini dan dasar yang dibawa mereka “diletakkan” ke atas kami dan kami tidak mempunyai pengaruh tentangnya.
Semua pihak, semua faktor yang membawa kepada keadaan yang berlaku semasa detik-detik kritikal Balkan telah ditentukan: dunia yang bersikap melepas tangan dan tak acuh, pembakaran meluap-luap semangat kebangsaan, ahli-ahli politik yang tidak kompeten di sini dan di luar negara, Milosevic, Tudjman serta tujuan mereka dan sudah tentu termasuk juga saya. Natijahnya pasti dan tidak dapat tidak seperti yang terjadi.
Kemusnahan Bosnia Herzegovina telah berlaku tanpa disekat. Puak Serb SDS menubuhkan Wilayah Autonomi Serb SAO yang secara langsung mencerai beraikan Republik. Tentera Nasional Yugoslavia JNA membekalkan senjata kepada mereka. Kami berada dalam dilema samada untuk menentang situasi ini secara kekuatan tetapi kajian dan penilaian menunjukkan kami tidak berkemampuan.
Kami menubuhkan Majlis Pertahanan Kebangsaan yang bakal melahirkan Liga Patriotik, yang kelak menjadi Angkatan Tentera Bosnia Herzegovina. Apabila ditanya wartawan samada aku percaya ancaman Karadzic untuk melancarkan peperangan yang dahsyat bagi menghapuskan dan menghancur lebur Bosnia, aku tidak mempercayai atau menjangkakan bahawa ia akan menjadi peperangan pembunuhan beramai-ramai. Aku mengira puak Serb akan terpaksa terima kewujudan Bosnia sebagai fait accompli, atau mereka akan melakukan rampasan kuasa dan menangkap aku serta pimpinan SDA. Sekiranya mereka enggan menerima kemerdekaan Bosnia, itulah tindakan dan langkah paling logikal. Sebaliknya, mereka memilih keganasan dan kekejaman.
Apabila ditanya berkenaan persiapan kami untuk perang, aku memberitahu bahawa kami mengumpul senjata ringan dan bergantung harap kepada pasukan polis. Merekalah yang mampu mempertahankan kota dan bandar, dan inilah yang mereka telah lakukan apabila tiba serangan. Pihak Serb menolak rancangan damai dengan merasakan bahawa kedudukan mereka kuat. Aku pula mengira bahawa Barat akan mempertahankan Bosnia secara politik dan ketenteraan apabila ia mengiktiraf kemerdekaan Bosnia.
Tahun terakhir yang aman sampai ke penghujungnya. Berlalu sudah musim gugur yang permai. Salji turun awal pada September, diikuti musim panas disinari mentari, musim panas yang digelari Michelmas summer. Musim luruh memperlihatkan kegemilangan hutan Bosnia yang cantik dan terkenal dalam lagu-lagu nyanyian rakyat desa. Namun, pada musim ini hutan yang indah menjadi punca ketakutan dan kegelisahan. Unit-unit paramiliter Serb, yang menggelar diri mereka Chetnik, suatu nama dan metos lama, kelihatan muncul bergerak. Senantiasa mabuk dengan rupa wajah berjanggut dan berjambang yang panjang tanpa dipelihara, dan memakai topi hitam atau berbulu dengan lambang tengkorak serta tulang bersilang. Mereka menyanyikan lagu-lagu penuh dengan hasad dan kebencian terhadap umat Islam dan Croat.
Pada penghujung ucapan sidang pleno kongres pertama,aku berkata:
“…..Saya dengan hormatnya menyeru dan merayu kepada warga Serb dan Croat kita, jiran Serb dan Croat kita, dan para pemimpin mereka, untuk mencari jalan keluar yang terbaik bagi menangani situasi ini. Suatu penyelesaian berasaskan kesaksamaan dan akalbudi, supaya kesemua rakyat kita dijauhi daripada kesengsaraan yang sedang kita saksikan…..”
“….Saya tamatkan ucapan ringkas ini dengan seruan kepada umat Islam. Sebagaimana yang kita hadapi hari ini, telah ada sebuah negara kecil sebelum ini yang berhadapan dengan pilihan yang getir: samada untuk tunduk dan menyerah, atau untuk berdiri tegak dengan bermaruah – menjadi hamba abdi, atau untuk kekal sebagai rakyat yang bebas. Pujangga negara berkenaan menukilkan jawapannya dengan kata-kata masyhur, dengannya saya akhiri ucapan saya:
Saya bersumpah dengan nama Allah yang Maha Kuasa bahawa kita tidak akan sekali-kali menjadi hamba.”
Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai penyudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abadsangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropa.
Pada 1992 sehingga 1994, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.
Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003:
Pada ucapanku di Perhimpunan Perwakilan, aku sebutkan:
“Saya tidak mendakwa sebagai mewakili umat Islam, kerana tidak sesiapa pun yang melantik saya, tetapi saya pasti bahawa saya betul apabila menyatakan hasrat dan cita-cita mereka apabila mengatakan mereka tidak akan rela Bosnia diperkotak-katikkan dan dipecah-belah.”
Aku membuat kesimpulan dengan komentar berkenaan tata hidup komunisme:
“……Percubaan besar-besaran untuk mencipta syurga dunia tanpa Tuhan dan manusia, malah menentang Tuhan dan manusia, telah berakhir dengan kegagalan.”
Ramai yang memberikan tepukan gemuruh dan ramai juga yang sebak serta mengesat air mata. Suatu halaman baru sejarah kami telah bermula.
Aku menjelajah merata tempat bagi meraih sokongan untuk kempen. Terlalu banyak perjumpaan yang diadakan hingga aku sudah terlupa. Perhimpunan di Novi Pazar, Foca dan Velika Kladusa yang paling menarik dan menjadi kenangan kerana kehadiran yang teramai. Tumpuan perhimpunan di Foca pada 25 Ogos 1990 adalah bagi memperingati janaza, pengkebumian orang Islam yang terbunuh semasa Perang Dunia Kedua. Walaupun lebih ramai umat Islam yang terbunuh pada peperangan tersebut berbandingkan orang lain, namun padang-padang pembunuhan tempat mereka terkorban tidak bertanda. Regim atheis sebelum ini tidak membenarkan sebarang bentuk peringatan keagamaan untuk mangsa-mangsa yang tidak bersalah itu.
Pada perhimpunan bertemakan “Foca tidak akan berulang”, aku merayu kepada 100,000 orang Islam yang hadir demi kedamaian dan kemaafan. Aku mengatakan bahawa pada tarikh tersebut umat Islam melepasi ujian sejarah yang getir. Aku menolak tanggapan bahawa puak Serb bertanggungjawab secara kolektif ke atas kekejaman pelampau Chetnik ke atas orang Islam.
Aku katakan bagi menenangkan hati dan membendung perasaan ramai, “Bagi kita, melihatnya dari perspektif Foca, hanya ada dua bangsa iaitu – pembunuh-pembunuh, dan mangsa-mangsa yang tidak bersalah.”
Kanak-kanak lelaki dan perempuan melontar bunga-bungaan daripada atas jambatan kepada tempat di mana umat Islam terbunuh 50 tahun yang lalu. Aku mencadangkan supaya menabur bunga ke atas kubur-kubur mangsa-mangsa yang berbangsa Serb dan orang ramai bersetuju. Malangnya semua ini idealisme yang tidak berguna. Pada 1992, peristiwa ngeri Foca terjadi semula, dalam bentuk yang lebih dahsyat. Penduduknya terbunuh dan ramai terpaksa melarikan diri. Semua masjid-masjid dimusnahkan termasuk masjid Aladza di Foca yang masyhur sedunia yang dibina pada abad ke 16.
Adakah apa-apa faedah pada percubaan untuk berbaik-baik, mencari muafakat dan mencapai perdamaian? Saya berpendapat ada manfaatnya. Usaha seperti itu iaitu percubaan demi mencari kedamaian tidak akan sia-sia. ____________________________________________________________________ Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropah.
Pada 1992 sehingga 1994, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.
Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003.
Tahun selepas pembebasanku daripada penjara merupakan tahun rihat. Setelah bebas daripada menjalani 6 tahun merengkok di penjara, setiap hal yang berlaku pada diriku amat menggembirakan. Aku membaca, melancong, berjalan-jalan dan dikelilingi oleh kemesraan dan kasih sayang anak-anak. Yang penting sekali, aku merasai ketenangan hidup.
Walaubagaimanapun, keamanan Bosnia Herzegovina semakin tidak tenteram dan bergolak. Pelbagai skandal muncul akibat salahlaku dan rasuah kerajaan komunis pimpinan Belgrad. Kegiatan pelampau kaum yang digelar kumpulan Chetnik semakin menjadi-jadi. Persoalan semasa nasib umat Islam Yugoslavia menjadi topik hangat.
Aku sememangnya tidak menaruh kepercayaan bahawa bentuk komunisme yang pegun boleh bertahan lama. Tetapi aku sendiri tidak menyangka kejatuhan merudumnya sekitar 1989-1990. Rupa-rupanya sifat sistem komunisme itu adalah samada ia berdiri tegak atas kesemua atau tiada langsung. Tiada penyelesaian pertengahan yang membawa keriangan kerana Komunisme dan kebebasan saling bertentangan – samada komunisme memusnahkan kebebasan atau sebaliknya. Pada pertengahan abad ke 20, komunisme menghancurkan kebebasan tetapi pada akhir abad, putaran berlaku.
Kejatuhan Tembok Berlin memberikan kesan domino – berkait-mengait di dunia komunis. Setiap kerajaan komunis seolah-olah diserang penyakit saraf yang menjadikannya kaku dan lumpuh. Di Yugoslavia, keadaan bertambah berat dengan ketegangan kaum, yang telah terpendam selama ini, dan sedang membuak-buak. Yugoslavia mengalami dua puaka yang menjadi penyebab kejatuhannya: pertama, ekonomi sosialis yang tidak cekap, yang sentiasa keterbelakang berbanding dunia kapitalis yang maju, dan kedua, dominasi kaum Serb yang tertanam sejak mula lagi. Puak Serb menerajui dan menguasai semua kedudukan yang mustahak yang membuatkan semua kaum lain – Croat, Slovene, Montenegrins, Macedonia dan Muslim tertekan serta tertindas.
Sentimen agama umat Islam telah dibendung dan disekat secara sistematik selama 40 tahun pemerintahan komunis Yugoslavia. Namun, peristiwa – peristiwa yang berlaku sesudahnya menunjukkan bahawa pegangan agama tidak pernah padam kerana di bawah lapisan tebal abu, rupa-rupanya bara masih berkelip-kelipan dan kemudian akan menyambar menjadi api.
Untuk memastikan negara menjalani pembinaan semula demokrasi, adalah perlu untuk mendirikan parti-parti politik. Parti politik bukannya bebas daripada cacat cela tetapi dunia masih belum ada kaedah lain yang lebih baik. Kami memerlukan parti yang pro-Bosnia dan pro-Muslim yang akan melibatkan dan menggabungkan rakyat termasuk puak Serb dan Croat. Aku bercakap dan menghubungi rakan-rakan. Aku yakin umat Islam Yugoslavia akan dapat digemblengkan sekiranya rayuan dan message dapat disampaikan secara berkesan kepada mereka.
Parti Tindakan Demokratik –Stranka Demokratske Ackcije (SDA) bermula November 1989 dan setahun kemudian pada 1990, parti ini memenangi pilihanraya.
Dari mula lagi, aku diterima sebagai “pemimpin” dan aku bukanlah yang terbaik. Mungkin para pimpinan tak semestinya terhandal kerana untuk menjadi pemimpin, sudah bakal ada kelemahan ketara dan aku memang mempunyai banyak kekurangan.
Aku mendekati dan mendampingi intelektual dan pimpinan Muslim yang ternama untuk penubuhan dan pengukuhan parti. Di samping menyatukan umat Islam Bosnia Herzegovina dan menjadi wadah politik, aspirasi parti adalah untuk menjadi parti kepada semua orang Islam Yugoslavia iaitu termasuk Serbia, Montenegro, Kosovo dan Macedonia. Ia merupakan satu angkatan Bosniak Muslim se dunia.
Situasi berubah dengan pantas dengan sistem sosialis menghadapi krisis, menjadi semakin lemah dan tidak bermaya. Kami membuat kenyataan umum membentangkan program parti. Kami mengisytiharkan parti ini suatu perikatan warga negara Yugoslavia yang datang daripada masyarakat dan kebudayaan Islam serta semua warga negara Yugoslavia yang menyokong program dan matlamat parti.
Pada 26 Mei 1990, Perhimpunan Perwakilan SDA telah diadakan. Dewan perhimpunan penuh sesak. Ketakutan lama telah ditukar kepada keterbukaan dan nekad. Aku memulakan ucapan di perhimpunan dengan lafaz bismillah. Aku berbuat demikian kerana dua sebab. Pertama, aku dengan tulus ikhlas berdoa kepada Allah s.w.t. untuk memohon pertolonganNya. Kedua, sebagai tanda kebebasan agama dan isyarat jelas menyanggah regim pemerintahan sedia ada. Sebelum itu, tidak terbayang atau diimpikan untuk mengeluarkan sebarang kata-kata berunsur keagamaan di atas pentas awam. Aku meneruskan ucapan dengan kisah pembebasan, keruntuhan Tembok Berlin, merudumnya sistem komunis dan terbitnya era kebebasan untuk berjuta-juta penduduk dunia. Kesannya amat bersejarah berbandingkan peristiwa-peristiwa besar seperti Revolusi Perancis, penemuan Amerika dan kejatuhan empayar Bizantin.
Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abadsangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropah.
Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003.