Showing posts with label JNA. Show all posts
Showing posts with label JNA. Show all posts

Monday, November 3, 2008

Persoalan Perang


Alija Izetbegovic Siri ke 14

Suatu petang yang dinihari pada bulan April di Skopje, Macedonia, kami duduk bersama di sebuah taman yang indah.Namun suasananya tegang dan muram.






Aku bertemu Branko Kostic dan General Blagoje Adzic masing-masing Wakil badan politik pemerintah tertinggi dan pemangku Ketua Turus Staf JNA Tentera Yugoslavia. Kami cuba saling menahan perasaan permusuhan yang membara sewaktu itu yang gagal dipendam.






Bersama kami adalah Presiden Macedonia, Kiro Gligorov, seorang yang baik hati dan juga sahabatku yang sedang cuba menjadi perantara rundingan. Perbincangan berjalan selama tiga jam. Apabila aku mencadangkan supaya beberapa anggota tentera Muslim berpangkat general dilantik sebagai pegawai-pegawai pemerintah di Bosnia Herzegovina, Adzic memandang dengan wajah yang berfikiran panjang.

Aku tambah lagi dengan berkata, “Lakukanlah ini demi menyelamatkan negara ini.” Adzic menjawab, “Mr. Izetbegovic, anda tahu bahawa hampir kesemua anggota tentera adalah kaum Serb. Adalah tidak realistik untuk sesiapa pegawai pemerintah pun terdiri daripada general-general Muslim.”Adzic seorang yang jujur dan berterus terang. Sebaliknya Kostik cuba berselindung dengan menafikan kekejaman dan keganasan yang berlaku angkara subahat JNA dan unit-unit paramiliter Serb. Kostik sanggup mengatakan bahawa tindak tanduk JNA adalah saksama dan tidak berpihak.


Selama 70 hari berlalu sebelum kami di Bosnia mengakui bahawa peperangan telah meletus dan kami sedar tentang hakikat bahawa kami tidak boleh menoleh kebelakang lagi serta keadaan ini akan berterusan pada jangka masa yang lama. Sebelum ini, kami seolah-olah dirasuk impian harapan agar sesuatu yang ajaib akan berlaku untuk menghentikan pertumpahan darah yang sia-sia ini.


Majlis Presiden Bosnia mengisytiharkan wadah seruannya kepada semua warga dan bangsa Bosnia Herzegovina supaya menjadi anggota aktif barisan patriotik menentang pencerobohan. Walaupun dalam suasana peperangan, Majlis Presiden menyenaraikan prinsip-prinsip pegangannya iaitu: demokrasi berparlimen yang madani, ekonomi pasaran bebas, kepelbagaian parti politik, hak asasi manusia dan kebebasan, persempadanan negara berdaulat dan diiktiraf antarabangsa, status penduduk dan rakyat berdasarkan prinsip saksama dan persetujuan bersama, dan politik berorientasikan Eropah. Wadah ini melihat bahawa jalan keluar daripada peperangan adalah melalui jalan rundingan yang akan membawa perdamaian yang adil. Setiap peperangan berakhir dengan kedamaian. Lebih cepat peralihan daripada perang kepada damai berlaku, maka kuranglah kemusnahan dan bilangan maut serta mangsa kecederaan. Majlis Presiden memilih jalan rundingan bagi menamatkan peperangan dan membawa kedamaian.


Walaubagaimanapun, Bosnia tidak akan bersetuju berunding berdasarkan penubuhan wilayah menurut etnik kaum atau pemisahan kawasan khas etnik tertentu. Bosnia tidak akan rela perubahan wilayah atau demografi angkara natijah perang atau penggunaan kekerasan.


Idealisme pengisytiharan yang agong ini nyata bertentangan dengan penggunaan kekerasan yang kejam yang berlaku di medan. Dunia telah menjadi alpa dan tidak kisah serta tidak acuh sepertimana yang tidak disangkakan. Kekerasan tidak menang tetapi idealisme pun tidak menjuarai.


Hasrat kami untuk mencapai objektif wadah tersebut sangat jujur dan komposisi kerajaan yang dibentuk merupakan kerajaan perpaduan nasional adalah membuktikan niat ini. Tugas kerajaan ringkasnya adalah untuk menyelesaikan isu mendesak sebuah negara yang sedang diserang.


Apabila sebuah negara mengalami malang yang dinamakan peperangan, suatu persoalan pasti timbul iaitu: bolehkah peperangan dielakkan? Jawapannya: Apabila Slovenia dan Croatia berpisah daripada Yugoslavia, ia tidak lagi boleh dielakkan. Jawapan ini mungkin belum tuntas kerana walaupun kedua negara tersebut berpisah daripada Yugoslavia, keamanan boleh dikekalkan tetapi dengan syarat kami tunduk dan menyerah. Bagi Bosnia dan penduduk Bosniak, ini bermakna menjadi sebahagian Greater Serbia – Serbia Raya dan menerima autoriti tertinggi dan tetap Karadzic dan Milosevic. Sesungguhnya perhambaan itu lebih buruk daripada segala natijah, lebih buruk daripada peperangan.
_____________________________________________________________________
Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropah.


Pada 1992 sehingga 1995, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.

Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003.

Sunday, November 2, 2008

Bebas daripada Tawanan


Alija Izetbegovic Siri ke 13


Setelah Stesyen Televisyen Sarajevo menyiarkan tentang penahanan kami, campurtangan mula menyusuli. Keseluruhan pagi dipenuhi dengan perbualan telefon dan kedatangan pelawat. Detik masa berlalu secara amat perlahan dan sehingga petang masih tiada hasil penyelesaian.



Suatu peristiwa telah memberikan kesan besar kepada kesudahan kejadian ini. Semasa kami di Lisbon, suatu pertempuran yang merupakan penentu berlaku di antara Tentera Yugoslav JNA dan orang awam yang bersenjata. Tentera Yugoslav melancarkan serangan terancang bertujuan untuk menawan bangunan Presiden. Mereka telah menghadapi tentangan hebat yang tidak diduga dari segenap arah. Mereka terpaksa berundur ke berek. Orang-orang kami pula berjaya mengepung markaz Pemerintah Tentera Kedua JNA di Bistrik dan akibatnya panglima Serb, General Kukanjac beserta semua staf am serta beratus orang pegawai dan askar termasuk kelengkapan terperangkap.

Sebaik saja anak aku, Bakir mengetahui tentang penahanan kami, dia pantas bertindak. Dia bertemu seberapa ramai pegawai yang sempat dikunjungi. Akhirnya, dia mencadangkan dan dipersetujui suatu pertukaran sesama tahanan dibuat di antara kami dan General Kukanjac beserta stafnya. Sebuah kereta perisai APC UNPROFOR mengambil kami berempat dan sewaktu dalam perjalanan itu, ternampak di kiri dan kanan jalan, banyak kenderaan dan kereta kebal yang musnah natijah pertempuran yang berlalu.


Di atas Jambatan Skenderija di seberang sungai kelihatan sebuah tram yang hangus terbakar. Kami melalui kawasan bandar yang telah kosong dan kontang ditinggalkan penghuni. Kami kemudian berhenti di luar Markaz Tentera Kedua JNA. Sebuah kereta kebal besar menghadang pintu masuk markaz. Kami keluar daripada APC. Suasana senyap dan sunyi sepi menyelubungi pada tengah hari musim panas yang cukup berseri. Tidak kelihatan langsung bibit konfrontasi yang sedang mengambang.


Aku telah dimaklumkan setelah peristiwa berlalu bahawa pasukan penembak sasar kami telahpun bersedia dan ditempatkan di atas bumbung bangunan-bangunan sekitar. Di halaman berek sekumpulan besar pegawai dan askar JNA bersedia untuk bergerak untuk beredar dari markaz itu.

Aku dan mereka yang bersamaku meninggalkan APC di atas Jambatan Skenderija iaitu garisan pemisah Sarajevo, dan terus pergi ke bangunan Presiden. Di situ, aku disambut seolah-olah macam seorang yang telah kembali daripada maut.



Tujuh tahun kemudian, seorang pembaca akhbar Avaz menanyakan tentang apa pengajarannya peristiwa berkenaan. Aku menjawab: “ Saya ingin mengatakan bahawa itulah harinya kita mengatasi ketakutan kita terhadap puak Chetnik (Militan Serb). Kita tidak perlu gentar lagi dan tidak lagi perlu takut akan satu kompleks kerendahan diri yang kita alami berdekad-dekad lamanya. Kita berdiri tegap, mengangkat muka kita dan kita berlawan. Kita menyedari kemampuan sebenar yang ada pada diri kita jika kita bangun dan menegakkan kebenaran. Ini mungkin hanyalah faktor moral dan psikologi tetapi ia amat bermakna dan penting untuk masa depan. Di Sarajevo tanggal 2 Mei 1992, adalah jelas bahawa belenggu psikologi sedemikian boleh dilepaskan."


___________________________________________________________________
Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropa.

Pada 1992 sehingga 1994, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.

Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003:

Saturday, November 1, 2008

Menjadi Tawanan Serb

Alija Izetbegovic Siri ke 12



Peperangan sudah pun bermula. Sarajevo terputus dan terkepung daripada dunia luar serta dibedil bertubi-tubi. Cutilero (duta misi keamanan EU) menetapkan mesyuarat di Lisbon. Aku berlepas dari lapangan terbang Sarajevo yang pada ketika itu sudah pun dikuasai oleh tentera Serb. Aku menaiki pesawat yang dipinjamkan oleh Misi Pemantau EU. Aku tiba ke lapangan terbang dengan kawalan keselamatan ketat askar UNPROFOR (Pasukan Perlindungan PBB).



Cuaca Lisbon sungguh baik cocok dengan keindahan musim panas. Namun, perasaanku tidak tenteram dan mesyuarat gagal membuahkan sebarang hasil. Kami pun berlepas pulang. Setelah penerbangan melepasi ruang udara Itali dan pesawat mendarat untuk pengisian minyak di Rom, terdengar perbualan juruterbang mengenai pendaratan di Sarajevo. Apabila penerbangan telah hampir separuh perjalanan, pramugari menghampiri kami dan memberitahu bahawa lapangan terbang Sarajevo ditutup dan kami pun memilih untuk mendarat di Zagreb, Croatia. Kami pun dalam keadaan sunyi sepi berdebar penuh dengan kebimbangan. Terdengar lagi perbualan di ruang juruterbang dan pramugari sekali lagi datang dan kali ini pula memberitahu kami boleh mendarat di Sarajevo tetapi atas risiko kami sendiri. Kami pun terima tanpa teragak-agak.



Setelah mendarat, didapati tidak ada pengiring UNPROFOR. Ternampak askar-askar berpakaian seragam tetapi bukan pakaian topi biru UN. Mereka rupanya adalah tentera JNA dan bertambah jelas lagi mereka di bawah kuasa Serb Radovan Karadzic. Kami diarahkan pergi ke pejabat pengurus lapangan terbang. Gelagat dan tindak tanduk askar-askar itu cukup untuk menunjukkan bahawa kami telah menjadi tawanan. Kami berempat semuanya, seorang pegawai delegasi, seorang pengiring keselamatan dan anakku sendiri Sabina yang bersama sebagai penterjemah. Keadaan aku lebih tertekan kerana kehadiran anak sendiri menghadapi suasana yang getir.



Mereka mengarahkan kami ke Lukavica tetapi apabila aku menolak, mereka mula membuat ancaman. Mereka sendiri pun nampaknya keliru dan tidak tahu bagaimana untuk menguruskan hal ini. Mereka asyik keluar masuk pejabat untuk berunding sesama sendiri. Tiba-tiba telefon berdering. Hanya ada seorang askar yang mengawal kami di dalam. Sabina pun terus mengangkat dandang telefon dan berjaya memaklumkan kepada pemanggil bahawa Presiden Bosnia dan delegasinya di bawah tawanan Serb di lapangan terbang. Askar yang ada itu tidak berbuat apa-apa samada enggan, tidak berani atau tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Tidak lama kemudian, telefon berdering lagi. Kali ini, aku sendiri menjawab dan kedengaran suara pemberita daripada Televisyen Sarajevo menanyakan tentang apa yang sedang berlaku. Aku menerangkan tentang hal kami ditawan dan akan dibawa ke Lukavica.



Ternyata kemudiannya bahawa panggilan ini dan beberapa perihal lain telah menyelamatkan nyawa kami. Seluruh dunia akan mengetahui tentang seorang Presiden sebuah negara bebas telah ditahan oleh unit-unit militari di negaranya sendiri padahal askar PBB yang ada sepatutnya menjaga keamanan dan ketenteraman.



Kami dibawa ke Lukavica menaiki tiga buah kereta dan diiring oleh dua kereta kebal yang bising dan berhabuk. Kami bermalam di berek. Aku ditempatkan di bilik pejabat panglima yang diubahsuai secara segera. Sabina dibawa ke bilik lain bersama seorang wanita berpakaian seragam Serb yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang doktor. Aku hanya mengenang beberapa malam sahaja dalam hidupku yang aku tidak dapat terlena. Aku memang tidak dapat tidor semasa di Lukavica. Sebahagiannya kerana risau mengenai Sabina dan sebahagiannya pula disebabkan dentuman demi dentuman bedilan meriam dan pelancar roket yang memuntahkan api bergelora menuju Sarajevo tanpa henti.


Aku memandang jam dinding lama tentera di hadapan katilku dan aku memerhatikan waktu pukul 12, 1, 2, 3 sehinggalah ke subuh, aku tidak memejamkan mata.



_____________________________________________________________________
Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropa.

Pada 1992 sehingga 1995, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.

Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003:

Thursday, October 30, 2008

Peperangan Meletus

Alija Ali Izetbegovic Siri ke 11:






Sebaik saja keputusan pungutan suara ramai dicapai, pada tanggal 6 April 1992 Komuniti Eropah EU (Kesatuan Eropah) mengiktiraf Bosnia Herzegovina dan diikuti pula oleh Amerika Syarikat sehari kemudian. Pada permohonan kami untuk pengiktirafan, kami telah memberi jaminan akan mematuhi terma-terma Deklarasi Brussels, Panduan Pengiktirafan Negara- Negara Eropah Timur dan Draf Konvensyen The Hague. Kami menekankan bahawa Bosnia tidak menaruh sebarang niat membolot atau menakluk sebarang wilayah negara jiran serta apa-apa aktiviti yang dianggap mencurigakan.


Sebelum itu pun percubaan perdamaian Cutileiro gagal. Pemimpin Serb SDS bertegas dan mengumumkan kaum Serb dan Croat tidak akan menerima Bosnia Herzegovina sebagai sebuah negara yang bersatu. Malah Presiden parti Croat HDZ berhujah bahawa hanya negarabangsa sahaja yang boleh berdaulat. Sebaliknya, aku mengumumkan bahawa negara ini berdaulat tetapi bukan sebagai negarabangsa etnik menurut kaum, tetapi lebih kepada citra Eropah, bangsa sebagai warga sebuah negara yang bersatu. Aku menyatakan lagi bahawa Bosnia telah wujud dengan persempadanannya yang sama lebih daripada 300 tahun dan begitulah ianya sekarang. Kita tidak ingin melihat apabila dikejutkan daripada lena dan mendapati Bosnia dipisah-pisahkan, ditengah-tengah kancah konflik, kerana Bosnia yang berkonflik adalah Bosnia yang berperang.


Cadangan Dokumen Brussels sebenarnya merupakan dokumen di mana semua pihak memperolehi sesuatu tetapi hilang sesuatu yang lain pula. Kami tidak berpuas hati tetapi aku sangat berhasrat untuk bertolak ansur bagi mengelakan meletusnya peperangan. Persetujuan awal di Brussels dan di Sarajevo meredakan ketegangan. Tetapi ini hanya buat seketika sahaja. Pada 11 Mac Dewan Perhimpunan Serb rekaan mereka sendiri menolak Dokumen Brussels. Eropah tidak memberi reaksi yang sepatutnya kepada tamparan Serb ini. Eropah mula memejamkan matanya sebelah ke atas ancaman dan kecurangan Serb. Inilah permulaan kebisuan yang amat tidak bermaruah. Ekstremis Serb menjadi lebih lantang dan lebih liar.


Pencerobohan dan peperangan ke atas Bosnia Herzegovina bermula pada 1 April dengan serangan ke atas Bijeljina oleh unit-unit paramilitari Serb. Sebelum itu pun, dan tanpa sebarang isyarat atau tanda amaran, para tentera simpanan dan pasukan sukarela Serb yang merupakan sebahagian Kor tentera JNA (Angkatan Tentera Nasional Yugoslavia) telah menakluk Bosnia dengan perasaan ganas dan merompak serta menyamun. Mangsa-mangsa awal terdiri daripada orang awam Bosnia.




Pada musim panas 1991, jumlah tentera JNA di Bosnia ditambah berlipatganda. Dua Kor menceroboh masuk dengan diikuti dua Kor kemudiannya. Jumlah besar pasukan tentera udara JNA juga ditempatkan ke Bosnia. Semua kekuatan ketenteraan ini ditumpukan pada wilayah yang memang tersedia tiga Kor JNA sedia ada. Dengan merebaknya perang daripada Croatia dan sekatan ekonomi dari segenap arah, Republik Bosnia Herzegovina berada di ambang kehancuran dan kemusnahan.
________________________________________________________
Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropa.

Pada 1992 sehingga 1995, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.

Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003:

Wednesday, October 29, 2008

Peperangan Hampir Tiba

Alija Ali Izetbegovic Siri Ke 10:



Masa berlalu terlalu pantas. Detik sejarah memacu dengan lajunya di rantau ini. Jam menjadi minit, bulan menjadi hari. Peristiwa dramatis berturutan berlaku seolah-olah aksi hebat penggambaran tayangan filem bertenaga. Puak Serb menubuhkan Wilayah Autonomi Serb (SAO) dan mula tidak mengiktiraf autoriti Kerajaan Pusat di Sarajevo. Persenjataan mula diedarkan kepada penduduk Serb di seluruh negara.




Puak Croat HDZ juga menubuhkan kerajaan-kerajaan tempatan. Kedua-dua usaha ini merupakan cita-cita mereka bagi memecahbelahkan Bosnia Herzegovina. Pada upacara perjanjian damai di antara Croatia dan Tentera Kebangsaan Yugoslavia JNA, Cyrus Vance, duta khas Setiausaha PBB berucap menyatakan keyakinannya bahawa konflik tidak akan merebak ke Bosnia. Katanya, pemerhati UN akan dihantar ke Bosnia dan bukan tentera pengaman (topi biru). Apabila zon-zon perlindungan UN diwujudkan di Croatia, maka tentera JNA mara ke mana lagi kecuali ke dalam Bosnia!

Kerajaan Bosnia menerimapakai Piagam PBB, Akta Muktamad Helsinki, Piagam Paris, Deklarasi Hak Asasi Sejagat, Perjanjian Antarabangsa Hak Sivil dan Politik dan segala instrumen antarabangsa berkenaan hak asasi dan kebebasan termasuk semua komitmen bekas Republik Persekutuan Yugoslavia. Namun, Majlis Keselamatan PBB hanya mengiktiraf kemerdekaan Slovenia dan Croatia. Mereka tetapkan bahawa Bosnia perlu menjalani dan memenuhi syarat pungutan suara ramai – referendum.


Himpunan Parlimen Bosnia meluluskan resolusi berkenaan kesahihan kedaulatan Bosnia Herzegovina. Komuniti Serb membantah dan menolaknya. Parlimen juga meluluskan usul referendum mengenai kemerdekaan Bosnia. Perwakilan Serb dalam parti SDO dan SPO bertindak keluar dewan. Pungutan suara berbunyi: “ Adakah anda menyokong sebuah negara Bosnia Herzegovina yang merdeka dan berdaulat, negara yang terdiri daripada warga dan rakyat Bosnia Herzegovina – Muslim, Serb, Croat dan bangsa-bangsa lain yang bermastautin – dengan hak asasi yang sama?”


Kami kemukakan perlembagaan baru berkonsepkan masyarakat sivil tetapi puak Serb SDS sebaliknya menuduh kami cuba mengadakan “Republik Islam”. Padahal merekalah yang mahu dipisahkan Bosnia kepada tiga wilayah – Serb, Croat dan Muslim. Kita tidak dapat menerima hal sedemikian!


Parti Croat HDZ cuba memaksa perubahan dibuat kepada soalan yang diajukan pada pungutan suara bagi mengaitkan wilayah serta kaum tetapi saya menyeru semua supaya cekal dan tidak berganjak. Apabila undian dikira, terserlah bahawa 63.4 % daripada pengundi yang sah telah turutserta mengundi, dan 99% pengundi mengundikan “Ya” menyokong usul referendum tersebut. Nasib Bosnia Herzegovina telahpun ditentukan tetapi dalam artikata formal sahaja. Nasib Bosnia Herzegovina sebenarnya kelak ditentukan di medan pertempuran.



________________________________________________________

Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropah.

Pada 1992 sehingga 1995, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.

Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003: