Wednesday, October 29, 2008

Peperangan Hampir Tiba

Alija Ali Izetbegovic Siri Ke 10:



Masa berlalu terlalu pantas. Detik sejarah memacu dengan lajunya di rantau ini. Jam menjadi minit, bulan menjadi hari. Peristiwa dramatis berturutan berlaku seolah-olah aksi hebat penggambaran tayangan filem bertenaga. Puak Serb menubuhkan Wilayah Autonomi Serb (SAO) dan mula tidak mengiktiraf autoriti Kerajaan Pusat di Sarajevo. Persenjataan mula diedarkan kepada penduduk Serb di seluruh negara.




Puak Croat HDZ juga menubuhkan kerajaan-kerajaan tempatan. Kedua-dua usaha ini merupakan cita-cita mereka bagi memecahbelahkan Bosnia Herzegovina. Pada upacara perjanjian damai di antara Croatia dan Tentera Kebangsaan Yugoslavia JNA, Cyrus Vance, duta khas Setiausaha PBB berucap menyatakan keyakinannya bahawa konflik tidak akan merebak ke Bosnia. Katanya, pemerhati UN akan dihantar ke Bosnia dan bukan tentera pengaman (topi biru). Apabila zon-zon perlindungan UN diwujudkan di Croatia, maka tentera JNA mara ke mana lagi kecuali ke dalam Bosnia!

Kerajaan Bosnia menerimapakai Piagam PBB, Akta Muktamad Helsinki, Piagam Paris, Deklarasi Hak Asasi Sejagat, Perjanjian Antarabangsa Hak Sivil dan Politik dan segala instrumen antarabangsa berkenaan hak asasi dan kebebasan termasuk semua komitmen bekas Republik Persekutuan Yugoslavia. Namun, Majlis Keselamatan PBB hanya mengiktiraf kemerdekaan Slovenia dan Croatia. Mereka tetapkan bahawa Bosnia perlu menjalani dan memenuhi syarat pungutan suara ramai – referendum.


Himpunan Parlimen Bosnia meluluskan resolusi berkenaan kesahihan kedaulatan Bosnia Herzegovina. Komuniti Serb membantah dan menolaknya. Parlimen juga meluluskan usul referendum mengenai kemerdekaan Bosnia. Perwakilan Serb dalam parti SDO dan SPO bertindak keluar dewan. Pungutan suara berbunyi: “ Adakah anda menyokong sebuah negara Bosnia Herzegovina yang merdeka dan berdaulat, negara yang terdiri daripada warga dan rakyat Bosnia Herzegovina – Muslim, Serb, Croat dan bangsa-bangsa lain yang bermastautin – dengan hak asasi yang sama?”


Kami kemukakan perlembagaan baru berkonsepkan masyarakat sivil tetapi puak Serb SDS sebaliknya menuduh kami cuba mengadakan “Republik Islam”. Padahal merekalah yang mahu dipisahkan Bosnia kepada tiga wilayah – Serb, Croat dan Muslim. Kita tidak dapat menerima hal sedemikian!


Parti Croat HDZ cuba memaksa perubahan dibuat kepada soalan yang diajukan pada pungutan suara bagi mengaitkan wilayah serta kaum tetapi saya menyeru semua supaya cekal dan tidak berganjak. Apabila undian dikira, terserlah bahawa 63.4 % daripada pengundi yang sah telah turutserta mengundi, dan 99% pengundi mengundikan “Ya” menyokong usul referendum tersebut. Nasib Bosnia Herzegovina telahpun ditentukan tetapi dalam artikata formal sahaja. Nasib Bosnia Herzegovina sebenarnya kelak ditentukan di medan pertempuran.



________________________________________________________

Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropah.

Pada 1992 sehingga 1995, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.

Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003:

No comments: