Monday, October 20, 2008

Alija Ali Izetbegovic siri ke 2


Perbicaraan Sarajevo 1983



Mereka mengambil kami daripada lokap pada pagi 18 Julai 1983. Perbicaraan di Mahkamah Sarajevo telah bermula. Kami dikerahkan untuk beratur di koridor berhadapan sel kamar tahanan. Inilah kali pertama kami semua melihat dan bersua bersama sejak penangkapan. Kesemuanya kelihatan pucat lesu dan kekurangan zat makanan. Sahabatku Rusid mengalami sesak nafas. Aku berada di hadapan perbarisan dan kami diapit oleh dua orang anggota polis. Kami memasuki melalui pintu belakang ke dalam dewan mahkamah yang separuh penuh. Aku menyapa sidang hadirin mahkamah dengan mengucap salaam dan mengangkat isyarat tangan. Ada yang menjawab salaam. Hakim yang bersidang menengking dengan kuat supaya aku tidak berucap kepada khalayak ramai. Lantas aku menjawab bahawa aku mempunyai hak untuk mengucap salaam kepada anak-anakku yang berada di mahkamah.


Pada penggulungan akhir, pendakwa raya berhujah menuduh tulisanku berjudul “Deklarasi Islam” merupakan serangan ke atas nilai tata sosial (Yugoslavia). Dia menuduh ia bahaya, berunsur menentang revolusi dan propaganda musuh negara.


Aku berhujah dan membantah si pendakwa walaupun aku tahu ianya sia-sia. Kami telahpun dihukum sebelum dibicara. Pada penggulungan akhir pembelaan, aku menyatakan:


“Saya cintai Yugoslavia tetapi bukan kerajaannya. Saya curahkan segala bakti dan kasih kepada kebebasan, dan tidak ada sisa pun untuk pihak berkuasa. Saya bukan dibicarakan kerana melanggar undang-undang negara, sebab saya tidak bersalah. Saya dibicarakan atas alasan melanggar peraturan tak bertulis yang hanya dimiliki wewenang individu-individu di tompok kuasa di kalangan kita. Mereka menentukan standard tersendiri apa yang diharamkan dan apa yang dibenarkan tanpa menghiraukan Perlembagaan dan keluhuran Undang-Undang. Digambarkan bahawa saya telah amat menyalahi peraturan tak bertulis itu.


Saya ingin menegaskan: Saya seorang Muslim dan begitulah kesudahan diriku. Saya menganggap diri saya sebagai pejuang untuk jalan Islam di dunia dan begitulah akan saya habiskan umurku. Kerana bagi saya, Islam adalah satu nama lain untuk segala-gala yang indah dan mulia, satu nama yang menjanjikan dan harapan bagi masa depan terbaik umat Islam seluruh dunia, untuk hidup dengan bermaruah dan bebas. Dengan satu perkataan, ia adalah segala-galanya yang melayakkan imanku untuk terus hidup.”

----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropah.


Pada 1992 sehingga 1994, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.


Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003.

No comments: