Tuesday, October 28, 2008

Di ambang Peperangan

Alija Izetbegovic Siri Ke 9


Ucapanku pada penutup Sidang Kongres Pertama SDA:


“….Pada perhimpunan ini, kita berkewajipan untuk merenungkan umat Islam, yang sedang menunjukkan “sabr” (kesabaran) yang tinggi. Negara ini adalah suatu penemuan bagi kita dan juga bagi dunia. Saya mengajak anda semua memberi tepukan untuk negara ini!” Semua hadirin bangun dan memberikan tepukan gemuruh………..”


Majlis Presiden tidak mampu menyelesaikan krisis politik. Mesyuarat demi mesyuarat diadakan kerap dengan jarak beberapa hari sekali. Musim bunga 1991 diwarnai dengan perjumpaan sedemikian di antara Ljubljana, Zagreb, Sarajevo dan seterusnya. Namun apabila Milosevic dan Tudjman bertemu, tidak ada apa-apa yang dapat dilakukan. Ia merupakan suatu detik masa yang sungguh tragik. Tidak disangkal lagi bahawa faktor manusia menyumbang besar kepada peristiwa-peristiwa yang melanda Yugoslavia. Ciri-ciri keperibadian kepimpinan Yugoslavia dan republik-republik memastikan kegagalan setiap perjanjian yang termeterai. Apa yang berlaku diwajahi dan disebabkan personaliti seperti Milosevic dan Tudjman. Kami orang Bosniak juga kurang bernasib baik kerana pada masa yang kritikal dan genting itu, sekumpulan individu yang malang memegang tampuk dan jawatan: Bush Sr., Major, Mitterand, Ghali, Akashi, Janvier, Rose dan ramai lagi. Pada pandangan kami mereka ini dan dasar yang dibawa mereka “diletakkan” ke atas kami dan kami tidak mempunyai pengaruh tentangnya.


Semua pihak, semua faktor yang membawa kepada keadaan yang berlaku semasa detik-detik kritikal Balkan telah ditentukan: dunia yang bersikap melepas tangan dan tak acuh, pembakaran meluap-luap semangat kebangsaan, ahli-ahli politik yang tidak kompeten di sini dan di luar negara, Milosevic, Tudjman serta tujuan mereka dan sudah tentu termasuk juga saya. Natijahnya pasti dan tidak dapat tidak seperti yang terjadi.


Kemusnahan Bosnia Herzegovina telah berlaku tanpa disekat. Puak Serb SDS menubuhkan Wilayah Autonomi Serb SAO yang secara langsung mencerai beraikan Republik. Tentera Nasional Yugoslavia JNA membekalkan senjata kepada mereka. Kami berada dalam dilema samada untuk menentang situasi ini secara kekuatan tetapi kajian dan penilaian menunjukkan kami tidak berkemampuan.


Kami menubuhkan Majlis Pertahanan Kebangsaan yang bakal melahirkan Liga Patriotik, yang kelak menjadi Angkatan Tentera Bosnia Herzegovina. Apabila ditanya wartawan samada aku percaya ancaman Karadzic untuk melancarkan peperangan yang dahsyat bagi menghapuskan dan menghancur lebur Bosnia, aku tidak mempercayai atau menjangkakan bahawa ia akan menjadi peperangan pembunuhan beramai-ramai. Aku mengira puak Serb akan terpaksa terima kewujudan Bosnia sebagai fait accompli, atau mereka akan melakukan rampasan kuasa dan menangkap aku serta pimpinan SDA. Sekiranya mereka enggan menerima kemerdekaan Bosnia, itulah tindakan dan langkah paling logikal. Sebaliknya, mereka memilih keganasan dan kekejaman.



Apabila ditanya berkenaan persiapan kami untuk perang, aku memberitahu bahawa kami mengumpul senjata ringan dan bergantung harap kepada pasukan polis. Merekalah yang mampu mempertahankan kota dan bandar, dan inilah yang mereka telah lakukan apabila tiba serangan. Pihak Serb menolak rancangan damai dengan merasakan bahawa kedudukan mereka kuat. Aku pula mengira bahawa Barat akan mempertahankan Bosnia secara politik dan ketenteraan apabila ia mengiktiraf kemerdekaan Bosnia.



Tahun terakhir yang aman sampai ke penghujungnya. Berlalu sudah musim gugur yang permai. Salji turun awal pada September, diikuti musim panas disinari mentari, musim panas yang digelari Michelmas summer. Musim luruh memperlihatkan kegemilangan hutan Bosnia yang cantik dan terkenal dalam lagu-lagu nyanyian rakyat desa. Namun, pada musim ini hutan yang indah menjadi punca ketakutan dan kegelisahan. Unit-unit paramiliter Serb, yang menggelar diri mereka Chetnik, suatu nama dan metos lama, kelihatan muncul bergerak. Senantiasa mabuk dengan rupa wajah berjanggut dan berjambang yang panjang tanpa dipelihara, dan memakai topi hitam atau berbulu dengan lambang tengkorak serta tulang bersilang. Mereka menyanyikan lagu-lagu penuh dengan hasad dan kebencian terhadap umat Islam dan Croat.


Pada penghujung ucapan sidang pleno kongres pertama,aku berkata:


“…..Saya dengan hormatnya menyeru dan merayu kepada warga Serb dan Croat kita, jiran Serb dan Croat kita, dan para pemimpin mereka, untuk mencari jalan keluar yang terbaik bagi menangani situasi ini. Suatu penyelesaian berasaskan kesaksamaan dan akalbudi, supaya kesemua rakyat kita dijauhi daripada kesengsaraan yang sedang kita saksikan…..”


“….Saya tamatkan ucapan ringkas ini dengan seruan kepada umat Islam. Sebagaimana yang kita hadapi hari ini, telah ada sebuah negara kecil sebelum ini yang berhadapan dengan pilihan yang getir: samada untuk tunduk dan menyerah, atau untuk berdiri tegak dengan bermaruah – menjadi hamba abdi, atau untuk kekal sebagai rakyat yang bebas. Pujangga negara berkenaan menukilkan jawapannya dengan kata-kata masyhur, dengannya saya akhiri ucapan saya:


Saya bersumpah dengan nama Allah yang Maha Kuasa bahawa kita tidak akan sekali-kali menjadi hamba.”


--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai penyudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropa.


Pada 1992 sehingga 1994, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.


Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003:

No comments: