Sunday, October 26, 2008

Pertemuan demi Pertemuan

Alija Izetbegovic Siri Ke 7



Di Velika Kladusa, dua ribu orang telah berhimpun. Aku mengatakan dalam ucapanku:

“Bosnia Herzegovina adalah republik madani, itulah pilihan pasti umat Islam; bukan Islamik, dan bukan pula sosialis tetapi madani; untuk ini kita memerlukan penerimaan Serb dan Croat……..


…….Sekiranya Slovenia dan Croatia bertindak keluar daripada Yugoslavia seperti yang diancam mereka, maka Bosnia tidak akan kekal dalam saki baki Yugoslavia. Bosnia tidak akan bersetuju kekal di dalam Greater Serbia. Jika terdesak, umat Islam akan mengangkat senjata bagi mempertahankan kedaulatan Bosnia.”



Sekurang-kurangnya umat Islam bersedia untuk peristiwa yang bakal menyusul. Walaupun kekurangan persenjataan, namun ia berorganisasi. Sejenak sebelum peperangan hampir meletus, sekitar Mac 1992, aku mengadakan rundingan dengan ketua KOS – Perkhidmatan Perisik Yugoslavia, General Vasiljevic. Beliau menuduh kami memperolehi senjata dan semestinya aku menafikan. Vasiljevic berkata: “Tuan Izetbegovic, kami tidak pernah takut menghadapi senjata walaupun anda memiliki gudang senjata. Tetapi dua puluh orang yang mampu berorganisasi dan berencana membimbangkan kami.” Dalam hatiku, kami telah kumpulkan bukan setakat dua puluh orang tetapi digandakan seribu di segenap Bosnia Herzegovina. Hakikat inilah yang nantinya menjamin benteng pertahanan negara.


Pertemuan telah diaturkan dengan Dr Franjo Tujdman, Pengerusi HDZ – Komuniti Demokratik Croat, juga bakal Presiden Republik Croatia, di Zagreb. Tudjman mempelawaku untuk jamuan tengahari di sebuah restoran di Zagreb. Dia sendiri memandu kereta membawa kami. Semasa perbualan kami, dia mengajukan dengan tegas: “Tuan Izetbegovic, jangan tubuh parti orang Islam, ia salah, kerana Croat dan Muslim di Bosnia Herzegovina adalah satu bangsa. Orang Muslim adalah berbangsa Croat dan begitulah perasaan hati mereka.” Aku menjawab bahawa dia hanya memperdaya dirinya sendiri kerana jiwa orang Islam tetap berperasaan Muslim dan mereka sangat suka serta amat menghormati orang Croat, tetapi mereka bukan orang Croat. Dia berhujah dengan alasan sejarah memandangkan kesarjanaannya dalam sejarah tetapi aku mengetahui sanubari semasa Bosnia lebih daripadanya. Dia mengatakan bahawa HDZ akan menyapu bersih semua undi Croat dan Muslim dan akan memperolehi 70% pengundian. Aku menjawab HDZ akan hanya dapat 17%. Dan sesungguhnya, pada pilihanraya, HDZ hanya mendapat 17% dan ini bukanlah sukar sangat untuk diramalkan. Keputusan itu sebenarnya hanya mengesahkan bancian penduduk yang sedia ada.


Di Rom, aku menghadiri Sessi Khas Menteri EC –Komuniti Eropah, di mana Deklarasi Yugoslavia diterima. Aku kemudiannya mengunjungi Pope –Paus, seorang yang aku hormati secara yang tulus. Beberapa hari sebelumnya aku bertemu Partriach Pavle, Ketua Gereja Ortodoks Serbia di Belgrad. Pada pertemuan itu, aku memberi jaminan bahawa orang Islam tidak akan bertindak mengancam orang Serb. Bishop- Uskop Irinej dari Backa, yang menemani Patriach Pavle menyampuk dengan berkata, “Saya pun cuba mendapatkan jaminan yang sama daripada orang Serb supaya tidak menyerang orang Islam, daripada Radovan Karadzic. Dia enggan.”


Sekembalinya dari Rom, wartawan bertanyakan pendapatku tentang hubungan sesama kaum setelah berjumpa Pope dan Patriach. (Pope mengetuai gereja Kristian Katolik agama orang Croat. Patriach mengetuai gereja Kristian Ortodoks agama orang Serb) Aku menjawab bahawa aku percaya pimpinan agama berpegang kepada keamanan dan kedamaian tetapi mereka tidak mempunyai banyak pengaruh untuk menentukan pergolakan yang berlaku di rantau kami.

_____________________________________________________________________

Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropah.


Pada 1992 sehingga 1994, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.


Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003:

No comments: