Showing posts with label Karadzic. Show all posts
Showing posts with label Karadzic. Show all posts

Monday, October 27, 2008

Presiden Pertama dan Konflik







Alija Izetbegovic Siri Ke 8


Pilihanraya telah diadakan pada 18 November 1990 dan parti kami, SDA memenangi 86 daripada 240 kerusi yang dipertandingkan. Penyerahan kuasa oleh pentadbiran lama komunis berjalan dengan licin berserta kelancaran upacaranya. Pada sidang perhimpunan Majlis Presiden Bosnia Herzegovina, aku telah dilantik sebagai Presiden berdasarkan persetujuan bersama parti-parti yang menang.

Pemilihan ahli kerajaan pula suatu hal yang amat rumit dan menunjukkan bibit-bibit perbedaan dan pertikaian masa depan. Memang nyata SDS mendapat undi Serb, HDZ undian Croat dan SDA undian Bosniak. Rangka kerajaan campuran dianjurkan demi keharmonian nasional dan muafakat. Apa yang bakal berlaku pada masa depan menunjukkan anggapanku meleset tetapi aku masih mempercayai usaha demikian perlu dilakukan.Aku cuba mencapai kata sepakat nasional. Kerajaan baru yang ditubuh gagal berfungsi dengan baik. Parti-parti terlalu luas jurang perbedaan dan selalu bertentang haluan. Jelas, SDS dan HDZ merupakan bayangan penaung mereka Serbia dan Croat. Campurtangan luar semakin serious dalam hal ehwal Bosnia. Kesalahan yang menyebabkan perpecahan ini umumnya terletak di atas pihak Serb SDS.

Pada suasana sebegini yang memberi petanda yang muram, SDA membuat pengisytiharan kepada ahli, umat Islam dan warga Bosnia Herzegovina. Apabila diminta keterangan tentangnya oleh wartawan, aku menyatakan: “ Intipati pengisytiharan adalah seruan supaya orang Islam tidak bepecah-belah, dan sekiranya berlaku keadaan darurat, mereka hendaklah mempertahankan dan melindungi jiran mereka Serb, Croat dan jiran yang lain-lain. Kita menghormati bangsa Serb dan hidup aman damai seperti mana kita dengan bangsa Croat. Tetapi nasib Bosnia lebih ditentukan oleh hubungan Serb-Muslim……Hakikatnya, samada keadaan darurat akan timbul bergantung kepada pihak lain diluar Bosnia yang menggiatkan, menghasut dan mengapikan pergolakan ini.”

Kami bersetuju bahawa kami mendokong Yugoslavia tetapi Bosnia Herzegovina adalah negara berdaulat di dalam Yugoslavia. Yugoslavia hendaklah menjadi negara demokratik dengan semua Republik, rakyat dan bangsa mempunyai hak yang saksama. Inilah kedudukan kami bagi menghadapi rundingan seterusnya.

Ketuanan Serb telah terbina dan terukir pada asas tertegaknya Yugoslavia daripada mula lagi. Jika semua rakyatnya tidak mempunyai hak yang saksama, maka Yugoslavia tidak akan bertahan, tetapi bagi pihak Serb sebut saja tentang persamaan merupakan penghinaan ke atas mereka. Mereka mempercayai bahawa merekalah yang mengasaskan Yugoslavia dan ia adalah milik mutlak mereka. Menambah lagi punca Yugoslavia berkecai adalah sistem ekonomi sosialis yang lembab dan tidak cekap berdasarkan “pemilikan sosial” yang sebenarnya hanyalah “pemilikan tanpa tuanmilik”. Negara amat mundur dan keterbelakang serta mengalami hutang luar yang besar. Kucar kacir dan kelam kabut berlaku akibat inflasi tidak terkawal.

Rundingan terus dijalankan dengan giat dan semakin terdesak. Rundingan berlaku di peringkat Majlis Presiden Yugoslavia, secara terus antara dua pihak, dan di Eropah bagi mencari jalan penyelesaian.










Pada 17 Jun 1991, peperangan meletus di Slovenia dan lantas Slovenia berpisah daripada Yugoslavia. Sejurus kemudian, peperangan tercetus di antara JNA –Tentera Kebangsaan Yugoslavia dengan Croatia.


Kami mengumumkan bahawa kami tidak akan kekal lagi di dalam Yugoslavia tanpa Slovenia dan Croatia kerana yang tinggal bukan lagi Yugoslavia tetapi Greater Serbia – Serbia Raya.



Pada penghujung Oktober 1991, Radovan Karadzic membuat ucapan ancamannya yang masyhur: “Jangan anda fikirkan bahawa anda tidak akan menjerumuskan Bosnia Herzegovina ke dalam jahannam, dan umat Islam mungkin pupus.” Ucapan ini dibuat di hadapan media TV pada sessi parlimen.

Aku memberi respon kepada ancaman ini dengan berkata: “Kenyataan Karadzic dan mesej yang bawanya adalah penjelasan yang paling nyata kenapa kita tidak akan kekal lagi di dalam Yugoslavia. Wajah Yugoslavia yang dikehendaki tetuan Karadzic bukan apa yang diingini oleh sesiapa pun. Tidak sesiapa pun menghendakinya kecualilah pihak Serb.”

_____________
______________________________________________________________
Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropah.

Pada 1992 sehingga 1994, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.

Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003:

Sunday, October 26, 2008

Pertemuan demi Pertemuan

Alija Izetbegovic Siri Ke 7



Di Velika Kladusa, dua ribu orang telah berhimpun. Aku mengatakan dalam ucapanku:

“Bosnia Herzegovina adalah republik madani, itulah pilihan pasti umat Islam; bukan Islamik, dan bukan pula sosialis tetapi madani; untuk ini kita memerlukan penerimaan Serb dan Croat……..


…….Sekiranya Slovenia dan Croatia bertindak keluar daripada Yugoslavia seperti yang diancam mereka, maka Bosnia tidak akan kekal dalam saki baki Yugoslavia. Bosnia tidak akan bersetuju kekal di dalam Greater Serbia. Jika terdesak, umat Islam akan mengangkat senjata bagi mempertahankan kedaulatan Bosnia.”



Sekurang-kurangnya umat Islam bersedia untuk peristiwa yang bakal menyusul. Walaupun kekurangan persenjataan, namun ia berorganisasi. Sejenak sebelum peperangan hampir meletus, sekitar Mac 1992, aku mengadakan rundingan dengan ketua KOS – Perkhidmatan Perisik Yugoslavia, General Vasiljevic. Beliau menuduh kami memperolehi senjata dan semestinya aku menafikan. Vasiljevic berkata: “Tuan Izetbegovic, kami tidak pernah takut menghadapi senjata walaupun anda memiliki gudang senjata. Tetapi dua puluh orang yang mampu berorganisasi dan berencana membimbangkan kami.” Dalam hatiku, kami telah kumpulkan bukan setakat dua puluh orang tetapi digandakan seribu di segenap Bosnia Herzegovina. Hakikat inilah yang nantinya menjamin benteng pertahanan negara.


Pertemuan telah diaturkan dengan Dr Franjo Tujdman, Pengerusi HDZ – Komuniti Demokratik Croat, juga bakal Presiden Republik Croatia, di Zagreb. Tudjman mempelawaku untuk jamuan tengahari di sebuah restoran di Zagreb. Dia sendiri memandu kereta membawa kami. Semasa perbualan kami, dia mengajukan dengan tegas: “Tuan Izetbegovic, jangan tubuh parti orang Islam, ia salah, kerana Croat dan Muslim di Bosnia Herzegovina adalah satu bangsa. Orang Muslim adalah berbangsa Croat dan begitulah perasaan hati mereka.” Aku menjawab bahawa dia hanya memperdaya dirinya sendiri kerana jiwa orang Islam tetap berperasaan Muslim dan mereka sangat suka serta amat menghormati orang Croat, tetapi mereka bukan orang Croat. Dia berhujah dengan alasan sejarah memandangkan kesarjanaannya dalam sejarah tetapi aku mengetahui sanubari semasa Bosnia lebih daripadanya. Dia mengatakan bahawa HDZ akan menyapu bersih semua undi Croat dan Muslim dan akan memperolehi 70% pengundian. Aku menjawab HDZ akan hanya dapat 17%. Dan sesungguhnya, pada pilihanraya, HDZ hanya mendapat 17% dan ini bukanlah sukar sangat untuk diramalkan. Keputusan itu sebenarnya hanya mengesahkan bancian penduduk yang sedia ada.


Di Rom, aku menghadiri Sessi Khas Menteri EC –Komuniti Eropah, di mana Deklarasi Yugoslavia diterima. Aku kemudiannya mengunjungi Pope –Paus, seorang yang aku hormati secara yang tulus. Beberapa hari sebelumnya aku bertemu Partriach Pavle, Ketua Gereja Ortodoks Serbia di Belgrad. Pada pertemuan itu, aku memberi jaminan bahawa orang Islam tidak akan bertindak mengancam orang Serb. Bishop- Uskop Irinej dari Backa, yang menemani Patriach Pavle menyampuk dengan berkata, “Saya pun cuba mendapatkan jaminan yang sama daripada orang Serb supaya tidak menyerang orang Islam, daripada Radovan Karadzic. Dia enggan.”


Sekembalinya dari Rom, wartawan bertanyakan pendapatku tentang hubungan sesama kaum setelah berjumpa Pope dan Patriach. (Pope mengetuai gereja Kristian Katolik agama orang Croat. Patriach mengetuai gereja Kristian Ortodoks agama orang Serb) Aku menjawab bahawa aku percaya pimpinan agama berpegang kepada keamanan dan kedamaian tetapi mereka tidak mempunyai banyak pengaruh untuk menentukan pergolakan yang berlaku di rantau kami.

_____________________________________________________________________

Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropah.


Pada 1992 sehingga 1994, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.


Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003: