Showing posts with label Inescapable Questions. Show all posts
Showing posts with label Inescapable Questions. Show all posts

Thursday, October 23, 2008

Kebebasan Bersuara

Alija Izetbegovic: Siri ke 4



Setelah Mahkamah Agong menolak rayuan kami, kami mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengkaji semula penghakiman (Judicial Review). Permohonan dibentang setebal 30 muka surat termasuk bukti dan keterangan yang menunjukkan tuduhan tersebut adalah palsu dan membuktikan bahawa mahkamah sebelumnya telah secara serious menyalahi prosidur undang-undang.

Aku mengemukakan:

“Keputusan mahkamah yang salah dan menyalahi undang-undang pada amnya adalah akibat dan natijah kesilapan, penyimpangan dan kesalahan perjalanan peraturan yang membawa kepada keputusan berkenaan. Asas pertuduhan palsu mengenai sifat dan tujuan tulisan “Deklarasi Islam” – pendustaan amat nyata mulai detik pertama acara penyiasatan… menyebabkan penyiasat-penyiasat tertentu dan mahkamah melakukan kesalahan undang-undang dan pemalsuan yang terang-terangan. Walaupun berbunyi aneh, tetapi saya ingin tegaskan bahawa jika saya benar-benar bersalah sudah tentu saya akan diberikan perbicaraan yang adil dan saksama. Saya tidak dibicarakan dengan adil kerana saya tidak bersalah. Jika saya benar-benar bersalah sudah tentu penyiasatan akan dibuat oleh hakim penyiasatan yang bebas bukan oleh polis; peguambela sepatutnya diberi hak untuk bertemu tertuduh daripada permulaan sepertimana termaktub dalam undang-undang bukan setelah pertuduhan didaftarkan; soal siasat saksi dan tertuduh sepatutnya dijalankan dengan kehadiran peguambela; cara-cara menyalahi undang-undang tidak akan dikenakan ke atas saksi-saksi dan kenyataan berhemat mereka tidak akan diselewengkan; media dan akhbar yang dicucuk hidung tidak merekacipta suasana perang saraf dengan kempen luar biasa untuk meyakinkan orang ramai bahawa tertuduh telah didapati bersalah walaupun penyiasatan masih berjalan; dan sudah tentu kami tidak akan dibicara secara rahsia. Semua ini tidak perlu berlaku kecuali kerana ia amat dikehendaki untuk memastikan kami bersalah dan untuk menutup hakikat sebenar kes daripada pengetahuan orang ramai.”

Keputusan Mahkamah Persekutuan hanya mengurangkan hukuman sebanyak 2 tahun sahaja dan mengekalkan kesalahan “perkataan”. Fasal 133 Akta Jenayah masyhur ini berbunyi: “Barangsiapa yang menghina atau mengancam ketenteraman negara melalui perkataan, penulisan atau paparan akan dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun.” Kesannya, aku menjalani semua hukuman ini semata-mata kerana tulisan, kata-kata atau ringkasnya kerana kepercayaanku.

Kita pelajari di bangku sekolah bahawa sejarah manusia bermula yakni bahawa manusia menjadi manusia bersejarah apabila manusia belajar menulis. Tetapi manusia menjadi spesis kemanusiaan apabila ia belajar bercakap, dan berkata menurut fikirannya. Kemudian datang orang lain yang melarangnya bersuara, merekacipta undang-undang menyekat kebebasan, menggubal akta kesalahan berkaitan berkata-kata dan mengembalikan manusia kepada zaman purba dari mana ia mula muncul dahulu.

Pada suatu syarahan umum di Sarajevo sekitar 1994, seorang khalayak telah bertanyakan tentang kawalan penapisan (censorship). “Tuan Presiden, tahukah anda apa yang sedang dituliskan walaupun pada ketika ini kita dalam peperangan. Kenapa anda membiarkannya? Kenapa anda tidak memperkenalkan kawalan penapisan?” Aku menjawab bahawa setelah apa yang aku sendiri alami, aku tidak bersetuju dengan larangan sedemikian. Ini bukan sahaja perkara prinsip tetapi juga isu produktiviti. Aku berpegang bahawa larangan dan pemaksaan sedemikian tidak akan mencapai apa-apa untuk mengubah pendirian seseorang. Aku mengingatkan kepada al Qur’an sendiri yang menekankan secara yang indah dan pada masa yang sama amat lengkap ungkapannya, ayat Bahasa Arabnya berbunyi “ la ikraha fi’l din” – tidak ada paksaan dalam beragama. Jika ditafsirkan dengan lebih luas, seseorang mempunyai kepercayaan, pemikiran, yang tidak boleh dipaksakan. Pihak Komunis cuba menghalang idea-idea dan kebebasan berfikir melalui ancaman, deraan, polis dan penjara, kerana inilah cara-cara yang mereka ketahui dan gunakan. Pengalaman sistem komunis, dan kekalahan serta tertewasnya, membuktikan buat selama-lamanya kegagalannya – seolah-olah menjadikannya suatu ujikaji sejarah.

Akhirnya. setelah aku dibebaskan, aku sering ditemuramah mengenai perbicaraan yang telah berlalu. Pada tahun 1990, apabila aku mencapai kemenangan di pilihanraya, soalan yang paling kerap ditanya adalah samada aku akan membalas dendam, mengambil tindakan ke atas pihak Komunis kerana apa yang pernah mereka perlakukan ke atas diriku dan teman-temanku. Aku menjawab bahawa tidak akan ada tindakan atau balasan: dan tiada sesiapapun dikenakan sebarang tindakan. Semua orang yang terlibat dalam perbicaraan – pegawai-pegawai penyiasat, pendakwa raya, dan hakim-hakim – terus menjalani kehidupan seperti biasa dan bekerja dengan tugas mereka, dan ada yang masih kekal di jawatan yang sama. Sebagai seorang ahli politik, aku memaafkan mereka. Selaku seorang insan, aku tidak memaafkan.


--------------------------------------------------------------------------------------------------------
Tulisan di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi
al marhum Alija Ali Izetbegovic bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003.

Pada 1992 sehingga 1994, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.

Beliau terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai seorang peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropah.

Monday, October 20, 2008

Alija Ali Izetbegovic siri ke 2


Perbicaraan Sarajevo 1983



Mereka mengambil kami daripada lokap pada pagi 18 Julai 1983. Perbicaraan di Mahkamah Sarajevo telah bermula. Kami dikerahkan untuk beratur di koridor berhadapan sel kamar tahanan. Inilah kali pertama kami semua melihat dan bersua bersama sejak penangkapan. Kesemuanya kelihatan pucat lesu dan kekurangan zat makanan. Sahabatku Rusid mengalami sesak nafas. Aku berada di hadapan perbarisan dan kami diapit oleh dua orang anggota polis. Kami memasuki melalui pintu belakang ke dalam dewan mahkamah yang separuh penuh. Aku menyapa sidang hadirin mahkamah dengan mengucap salaam dan mengangkat isyarat tangan. Ada yang menjawab salaam. Hakim yang bersidang menengking dengan kuat supaya aku tidak berucap kepada khalayak ramai. Lantas aku menjawab bahawa aku mempunyai hak untuk mengucap salaam kepada anak-anakku yang berada di mahkamah.


Pada penggulungan akhir, pendakwa raya berhujah menuduh tulisanku berjudul “Deklarasi Islam” merupakan serangan ke atas nilai tata sosial (Yugoslavia). Dia menuduh ia bahaya, berunsur menentang revolusi dan propaganda musuh negara.


Aku berhujah dan membantah si pendakwa walaupun aku tahu ianya sia-sia. Kami telahpun dihukum sebelum dibicara. Pada penggulungan akhir pembelaan, aku menyatakan:


“Saya cintai Yugoslavia tetapi bukan kerajaannya. Saya curahkan segala bakti dan kasih kepada kebebasan, dan tidak ada sisa pun untuk pihak berkuasa. Saya bukan dibicarakan kerana melanggar undang-undang negara, sebab saya tidak bersalah. Saya dibicarakan atas alasan melanggar peraturan tak bertulis yang hanya dimiliki wewenang individu-individu di tompok kuasa di kalangan kita. Mereka menentukan standard tersendiri apa yang diharamkan dan apa yang dibenarkan tanpa menghiraukan Perlembagaan dan keluhuran Undang-Undang. Digambarkan bahawa saya telah amat menyalahi peraturan tak bertulis itu.


Saya ingin menegaskan: Saya seorang Muslim dan begitulah kesudahan diriku. Saya menganggap diri saya sebagai pejuang untuk jalan Islam di dunia dan begitulah akan saya habiskan umurku. Kerana bagi saya, Islam adalah satu nama lain untuk segala-gala yang indah dan mulia, satu nama yang menjanjikan dan harapan bagi masa depan terbaik umat Islam seluruh dunia, untuk hidup dengan bermaruah dan bebas. Dengan satu perkataan, ia adalah segala-galanya yang melayakkan imanku untuk terus hidup.”

----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropah.


Pada 1992 sehingga 1994, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.


Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003.

Sunday, October 19, 2008

Alija Ali Izetbegovic Siri 1


Alija Ali Izetbegovic


Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Berhadapan dengan sikap Eropah yang tidak ambil peduli dan tidak acuh, kem tahanan beramai-ramai muncul semula di depan mata mereka, namun beliau berusaha gigih tanpa penat dan rehat bagi mencapai keadilan di negerinya dan pada peringkat dunia. Ada yang mengatakan beliau seorang yang sukar dan tidak bertolak ansur dan ada pula yang memujinya sebagai seorang yang hidup dengan berprinsip yang tinggi.


Alija Izetbegovic telah dipenjarakan dua kali oleh kerajaan komunis dan pada kali kedua kesalahannya adalah semata-mata kerana penulisannya. Beliau menjadi Presiden pertama negaranya yang merdeka pada 1990. Beliau berdiri teguh bersama rakyatnya semasa menghadapi serangan pencerobohan ke atas negaranya pada tahun 90’an, memimpin mereka dengan jiwa dan semangat yang kental, berpegang kepada prinsipnya sebagai seorang warga Eropah dan negarawan Muslim.


Alija Izetbegovic adalah salah seorang individu yang unggul yang berjaya mengilhamkan , membangkitkan dan memimpin seluruh negara, lalu mendapat pengiktirafan serta dikagumi dunia. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropah.


Berikut adalah petikan yang diterjemah dan disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation pada 2003:



Alija Izetbegovic Siri Pertama:


Remaja dan Subuh di Sarajevo.


“Arwah ibuku seorang wanita yang sangat wara’ dan kuat pegangan agama, dan iltizam aku kepada agama sebahagiannya terletak kepada budi yang dicurahkannya. Ibuku senantiasa bangun lebih awal untuk solat subuh (Sabah – menurut sebutan istilah Bosnia). Dia juga akan mengejutkan aku dari tidor supaya aku pergi ke masjid berdekatan, Masjid Hadzijska berhampiran Dewan Bandaran (Vijenica). Aku berasa agak keberatan untuk bangun, biasalah, kerana waktu itu aku berumur 12 ke 14 tahun. Namun, aku selalu gembira apabila balik ke rumah terutama pada musim bunga. Matahari telah naik bersinar, Pak Imam Mujezinovic berada di Masjid. Dia selalu membaca ayat al Quran, Surah al Rahman yang indah itu.pada raka’at kedua solat subuh. Masjid di tengah-tengah musim berbunga, solat pagi subuh, surah al Rahman dan Pak Imam yang alim – yang dihormati semua orang di qaryah tetangga, menjadikannya sebuah pemandangan yang sungguh indah permai. Kenangan inilah yang aku masih terbayang kelihatan dengan jelas dicelah-celah kabus tahun-tahun yang telah berlalu .”