Showing posts with label UN. Show all posts
Showing posts with label UN. Show all posts

Saturday, November 1, 2008

Menjadi Tawanan Serb

Alija Izetbegovic Siri ke 12



Peperangan sudah pun bermula. Sarajevo terputus dan terkepung daripada dunia luar serta dibedil bertubi-tubi. Cutilero (duta misi keamanan EU) menetapkan mesyuarat di Lisbon. Aku berlepas dari lapangan terbang Sarajevo yang pada ketika itu sudah pun dikuasai oleh tentera Serb. Aku menaiki pesawat yang dipinjamkan oleh Misi Pemantau EU. Aku tiba ke lapangan terbang dengan kawalan keselamatan ketat askar UNPROFOR (Pasukan Perlindungan PBB).



Cuaca Lisbon sungguh baik cocok dengan keindahan musim panas. Namun, perasaanku tidak tenteram dan mesyuarat gagal membuahkan sebarang hasil. Kami pun berlepas pulang. Setelah penerbangan melepasi ruang udara Itali dan pesawat mendarat untuk pengisian minyak di Rom, terdengar perbualan juruterbang mengenai pendaratan di Sarajevo. Apabila penerbangan telah hampir separuh perjalanan, pramugari menghampiri kami dan memberitahu bahawa lapangan terbang Sarajevo ditutup dan kami pun memilih untuk mendarat di Zagreb, Croatia. Kami pun dalam keadaan sunyi sepi berdebar penuh dengan kebimbangan. Terdengar lagi perbualan di ruang juruterbang dan pramugari sekali lagi datang dan kali ini pula memberitahu kami boleh mendarat di Sarajevo tetapi atas risiko kami sendiri. Kami pun terima tanpa teragak-agak.



Setelah mendarat, didapati tidak ada pengiring UNPROFOR. Ternampak askar-askar berpakaian seragam tetapi bukan pakaian topi biru UN. Mereka rupanya adalah tentera JNA dan bertambah jelas lagi mereka di bawah kuasa Serb Radovan Karadzic. Kami diarahkan pergi ke pejabat pengurus lapangan terbang. Gelagat dan tindak tanduk askar-askar itu cukup untuk menunjukkan bahawa kami telah menjadi tawanan. Kami berempat semuanya, seorang pegawai delegasi, seorang pengiring keselamatan dan anakku sendiri Sabina yang bersama sebagai penterjemah. Keadaan aku lebih tertekan kerana kehadiran anak sendiri menghadapi suasana yang getir.



Mereka mengarahkan kami ke Lukavica tetapi apabila aku menolak, mereka mula membuat ancaman. Mereka sendiri pun nampaknya keliru dan tidak tahu bagaimana untuk menguruskan hal ini. Mereka asyik keluar masuk pejabat untuk berunding sesama sendiri. Tiba-tiba telefon berdering. Hanya ada seorang askar yang mengawal kami di dalam. Sabina pun terus mengangkat dandang telefon dan berjaya memaklumkan kepada pemanggil bahawa Presiden Bosnia dan delegasinya di bawah tawanan Serb di lapangan terbang. Askar yang ada itu tidak berbuat apa-apa samada enggan, tidak berani atau tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Tidak lama kemudian, telefon berdering lagi. Kali ini, aku sendiri menjawab dan kedengaran suara pemberita daripada Televisyen Sarajevo menanyakan tentang apa yang sedang berlaku. Aku menerangkan tentang hal kami ditawan dan akan dibawa ke Lukavica.



Ternyata kemudiannya bahawa panggilan ini dan beberapa perihal lain telah menyelamatkan nyawa kami. Seluruh dunia akan mengetahui tentang seorang Presiden sebuah negara bebas telah ditahan oleh unit-unit militari di negaranya sendiri padahal askar PBB yang ada sepatutnya menjaga keamanan dan ketenteraman.



Kami dibawa ke Lukavica menaiki tiga buah kereta dan diiring oleh dua kereta kebal yang bising dan berhabuk. Kami bermalam di berek. Aku ditempatkan di bilik pejabat panglima yang diubahsuai secara segera. Sabina dibawa ke bilik lain bersama seorang wanita berpakaian seragam Serb yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang doktor. Aku hanya mengenang beberapa malam sahaja dalam hidupku yang aku tidak dapat terlena. Aku memang tidak dapat tidor semasa di Lukavica. Sebahagiannya kerana risau mengenai Sabina dan sebahagiannya pula disebabkan dentuman demi dentuman bedilan meriam dan pelancar roket yang memuntahkan api bergelora menuju Sarajevo tanpa henti.


Aku memandang jam dinding lama tentera di hadapan katilku dan aku memerhatikan waktu pukul 12, 1, 2, 3 sehinggalah ke subuh, aku tidak memejamkan mata.



_____________________________________________________________________
Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropa.

Pada 1992 sehingga 1995, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.

Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003:

Wednesday, October 29, 2008

Peperangan Hampir Tiba

Alija Ali Izetbegovic Siri Ke 10:



Masa berlalu terlalu pantas. Detik sejarah memacu dengan lajunya di rantau ini. Jam menjadi minit, bulan menjadi hari. Peristiwa dramatis berturutan berlaku seolah-olah aksi hebat penggambaran tayangan filem bertenaga. Puak Serb menubuhkan Wilayah Autonomi Serb (SAO) dan mula tidak mengiktiraf autoriti Kerajaan Pusat di Sarajevo. Persenjataan mula diedarkan kepada penduduk Serb di seluruh negara.




Puak Croat HDZ juga menubuhkan kerajaan-kerajaan tempatan. Kedua-dua usaha ini merupakan cita-cita mereka bagi memecahbelahkan Bosnia Herzegovina. Pada upacara perjanjian damai di antara Croatia dan Tentera Kebangsaan Yugoslavia JNA, Cyrus Vance, duta khas Setiausaha PBB berucap menyatakan keyakinannya bahawa konflik tidak akan merebak ke Bosnia. Katanya, pemerhati UN akan dihantar ke Bosnia dan bukan tentera pengaman (topi biru). Apabila zon-zon perlindungan UN diwujudkan di Croatia, maka tentera JNA mara ke mana lagi kecuali ke dalam Bosnia!

Kerajaan Bosnia menerimapakai Piagam PBB, Akta Muktamad Helsinki, Piagam Paris, Deklarasi Hak Asasi Sejagat, Perjanjian Antarabangsa Hak Sivil dan Politik dan segala instrumen antarabangsa berkenaan hak asasi dan kebebasan termasuk semua komitmen bekas Republik Persekutuan Yugoslavia. Namun, Majlis Keselamatan PBB hanya mengiktiraf kemerdekaan Slovenia dan Croatia. Mereka tetapkan bahawa Bosnia perlu menjalani dan memenuhi syarat pungutan suara ramai – referendum.


Himpunan Parlimen Bosnia meluluskan resolusi berkenaan kesahihan kedaulatan Bosnia Herzegovina. Komuniti Serb membantah dan menolaknya. Parlimen juga meluluskan usul referendum mengenai kemerdekaan Bosnia. Perwakilan Serb dalam parti SDO dan SPO bertindak keluar dewan. Pungutan suara berbunyi: “ Adakah anda menyokong sebuah negara Bosnia Herzegovina yang merdeka dan berdaulat, negara yang terdiri daripada warga dan rakyat Bosnia Herzegovina – Muslim, Serb, Croat dan bangsa-bangsa lain yang bermastautin – dengan hak asasi yang sama?”


Kami kemukakan perlembagaan baru berkonsepkan masyarakat sivil tetapi puak Serb SDS sebaliknya menuduh kami cuba mengadakan “Republik Islam”. Padahal merekalah yang mahu dipisahkan Bosnia kepada tiga wilayah – Serb, Croat dan Muslim. Kita tidak dapat menerima hal sedemikian!


Parti Croat HDZ cuba memaksa perubahan dibuat kepada soalan yang diajukan pada pungutan suara bagi mengaitkan wilayah serta kaum tetapi saya menyeru semua supaya cekal dan tidak berganjak. Apabila undian dikira, terserlah bahawa 63.4 % daripada pengundi yang sah telah turutserta mengundi, dan 99% pengundi mengundikan “Ya” menyokong usul referendum tersebut. Nasib Bosnia Herzegovina telahpun ditentukan tetapi dalam artikata formal sahaja. Nasib Bosnia Herzegovina sebenarnya kelak ditentukan di medan pertempuran.



________________________________________________________

Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropah.

Pada 1992 sehingga 1995, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.

Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003: