Showing posts with label Yugoslavia. Show all posts
Showing posts with label Yugoslavia. Show all posts

Monday, November 3, 2008

Persoalan Perang


Alija Izetbegovic Siri ke 14

Suatu petang yang dinihari pada bulan April di Skopje, Macedonia, kami duduk bersama di sebuah taman yang indah.Namun suasananya tegang dan muram.






Aku bertemu Branko Kostic dan General Blagoje Adzic masing-masing Wakil badan politik pemerintah tertinggi dan pemangku Ketua Turus Staf JNA Tentera Yugoslavia. Kami cuba saling menahan perasaan permusuhan yang membara sewaktu itu yang gagal dipendam.






Bersama kami adalah Presiden Macedonia, Kiro Gligorov, seorang yang baik hati dan juga sahabatku yang sedang cuba menjadi perantara rundingan. Perbincangan berjalan selama tiga jam. Apabila aku mencadangkan supaya beberapa anggota tentera Muslim berpangkat general dilantik sebagai pegawai-pegawai pemerintah di Bosnia Herzegovina, Adzic memandang dengan wajah yang berfikiran panjang.

Aku tambah lagi dengan berkata, “Lakukanlah ini demi menyelamatkan negara ini.” Adzic menjawab, “Mr. Izetbegovic, anda tahu bahawa hampir kesemua anggota tentera adalah kaum Serb. Adalah tidak realistik untuk sesiapa pegawai pemerintah pun terdiri daripada general-general Muslim.”Adzic seorang yang jujur dan berterus terang. Sebaliknya Kostik cuba berselindung dengan menafikan kekejaman dan keganasan yang berlaku angkara subahat JNA dan unit-unit paramiliter Serb. Kostik sanggup mengatakan bahawa tindak tanduk JNA adalah saksama dan tidak berpihak.


Selama 70 hari berlalu sebelum kami di Bosnia mengakui bahawa peperangan telah meletus dan kami sedar tentang hakikat bahawa kami tidak boleh menoleh kebelakang lagi serta keadaan ini akan berterusan pada jangka masa yang lama. Sebelum ini, kami seolah-olah dirasuk impian harapan agar sesuatu yang ajaib akan berlaku untuk menghentikan pertumpahan darah yang sia-sia ini.


Majlis Presiden Bosnia mengisytiharkan wadah seruannya kepada semua warga dan bangsa Bosnia Herzegovina supaya menjadi anggota aktif barisan patriotik menentang pencerobohan. Walaupun dalam suasana peperangan, Majlis Presiden menyenaraikan prinsip-prinsip pegangannya iaitu: demokrasi berparlimen yang madani, ekonomi pasaran bebas, kepelbagaian parti politik, hak asasi manusia dan kebebasan, persempadanan negara berdaulat dan diiktiraf antarabangsa, status penduduk dan rakyat berdasarkan prinsip saksama dan persetujuan bersama, dan politik berorientasikan Eropah. Wadah ini melihat bahawa jalan keluar daripada peperangan adalah melalui jalan rundingan yang akan membawa perdamaian yang adil. Setiap peperangan berakhir dengan kedamaian. Lebih cepat peralihan daripada perang kepada damai berlaku, maka kuranglah kemusnahan dan bilangan maut serta mangsa kecederaan. Majlis Presiden memilih jalan rundingan bagi menamatkan peperangan dan membawa kedamaian.


Walaubagaimanapun, Bosnia tidak akan bersetuju berunding berdasarkan penubuhan wilayah menurut etnik kaum atau pemisahan kawasan khas etnik tertentu. Bosnia tidak akan rela perubahan wilayah atau demografi angkara natijah perang atau penggunaan kekerasan.


Idealisme pengisytiharan yang agong ini nyata bertentangan dengan penggunaan kekerasan yang kejam yang berlaku di medan. Dunia telah menjadi alpa dan tidak kisah serta tidak acuh sepertimana yang tidak disangkakan. Kekerasan tidak menang tetapi idealisme pun tidak menjuarai.


Hasrat kami untuk mencapai objektif wadah tersebut sangat jujur dan komposisi kerajaan yang dibentuk merupakan kerajaan perpaduan nasional adalah membuktikan niat ini. Tugas kerajaan ringkasnya adalah untuk menyelesaikan isu mendesak sebuah negara yang sedang diserang.


Apabila sebuah negara mengalami malang yang dinamakan peperangan, suatu persoalan pasti timbul iaitu: bolehkah peperangan dielakkan? Jawapannya: Apabila Slovenia dan Croatia berpisah daripada Yugoslavia, ia tidak lagi boleh dielakkan. Jawapan ini mungkin belum tuntas kerana walaupun kedua negara tersebut berpisah daripada Yugoslavia, keamanan boleh dikekalkan tetapi dengan syarat kami tunduk dan menyerah. Bagi Bosnia dan penduduk Bosniak, ini bermakna menjadi sebahagian Greater Serbia – Serbia Raya dan menerima autoriti tertinggi dan tetap Karadzic dan Milosevic. Sesungguhnya perhambaan itu lebih buruk daripada segala natijah, lebih buruk daripada peperangan.
_____________________________________________________________________
Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropah.


Pada 1992 sehingga 1995, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.

Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003.

Friday, October 24, 2008

Penstrukturan Semula Yugoslavia

Alija Izetbegovic Siri Ke 5



Tahun selepas pembebasanku daripada penjara merupakan tahun rihat. Setelah bebas daripada menjalani 6 tahun merengkok di penjara, setiap hal yang berlaku pada diriku amat menggembirakan. Aku membaca, melancong, berjalan-jalan dan dikelilingi oleh kemesraan dan kasih sayang anak-anak. Yang penting sekali, aku merasai ketenangan hidup.


Walaubagaimanapun, keamanan Bosnia Herzegovina semakin tidak tenteram dan bergolak. Pelbagai skandal muncul akibat salahlaku dan rasuah kerajaan komunis pimpinan Belgrad. Kegiatan pelampau kaum yang digelar kumpulan Chetnik semakin menjadi-jadi. Persoalan semasa nasib umat Islam Yugoslavia menjadi topik hangat.

Aku sememangnya tidak menaruh kepercayaan bahawa bentuk komunisme yang pegun boleh bertahan lama. Tetapi aku sendiri tidak menyangka kejatuhan merudumnya sekitar 1989-1990. Rupa-rupanya sifat sistem komunisme itu adalah samada ia berdiri tegak atas kesemua atau tiada langsung. Tiada penyelesaian pertengahan yang membawa keriangan kerana Komunisme dan kebebasan saling bertentangan – samada komunisme memusnahkan kebebasan atau sebaliknya. Pada pertengahan abad ke 20, komunisme menghancurkan kebebasan tetapi pada akhir abad, putaran berlaku.


Kejatuhan Tembok Berlin memberikan kesan domino – berkait-mengait di dunia komunis. Setiap kerajaan komunis seolah-olah diserang penyakit saraf yang menjadikannya kaku dan lumpuh. Di Yugoslavia, keadaan bertambah berat dengan ketegangan kaum, yang telah terpendam selama ini, dan sedang membuak-buak. Yugoslavia mengalami dua puaka yang menjadi penyebab kejatuhannya: pertama, ekonomi sosialis yang tidak cekap, yang sentiasa keterbelakang berbanding dunia kapitalis yang maju, dan kedua, dominasi kaum Serb yang tertanam sejak mula lagi. Puak Serb menerajui dan menguasai semua kedudukan yang mustahak yang membuatkan semua kaum lain – Croat, Slovene, Montenegrins, Macedonia dan Muslim tertekan serta tertindas.


Sentimen agama umat Islam telah dibendung dan disekat secara sistematik selama 40 tahun pemerintahan komunis Yugoslavia. Namun, peristiwa – peristiwa yang berlaku sesudahnya menunjukkan bahawa pegangan agama tidak pernah padam kerana di bawah lapisan tebal abu, rupa-rupanya bara masih berkelip-kelipan dan kemudian akan menyambar menjadi api.


Untuk memastikan negara menjalani pembinaan semula demokrasi, adalah perlu untuk mendirikan parti-parti politik. Parti politik bukannya bebas daripada cacat cela tetapi dunia masih belum ada kaedah lain yang lebih baik. Kami memerlukan parti yang pro-Bosnia dan pro-Muslim yang akan melibatkan dan menggabungkan rakyat termasuk puak Serb dan Croat. Aku bercakap dan menghubungi rakan-rakan. Aku yakin umat Islam Yugoslavia akan dapat digemblengkan sekiranya rayuan dan message dapat disampaikan secara berkesan kepada mereka.


Parti Tindakan Demokratik –Stranka Demokratske Ackcije (SDA) bermula November 1989 dan setahun kemudian pada 1990, parti ini memenangi pilihanraya.


Dari mula lagi, aku diterima sebagai “pemimpin” dan aku bukanlah yang terbaik. Mungkin para pimpinan tak semestinya terhandal kerana untuk menjadi pemimpin, sudah bakal ada kelemahan ketara dan aku memang mempunyai banyak kekurangan.


Aku mendekati dan mendampingi intelektual dan pimpinan Muslim yang ternama untuk penubuhan dan pengukuhan parti. Di samping menyatukan umat Islam Bosnia Herzegovina dan menjadi wadah politik, aspirasi parti adalah untuk menjadi parti kepada semua orang Islam Yugoslavia iaitu termasuk Serbia, Montenegro, Kosovo dan Macedonia. Ia merupakan satu angkatan Bosniak Muslim se dunia.


Situasi berubah dengan pantas dengan sistem sosialis menghadapi krisis, menjadi semakin lemah dan tidak bermaya. Kami membuat kenyataan umum membentangkan program parti. Kami mengisytiharkan parti ini suatu perikatan warga negara Yugoslavia yang datang daripada masyarakat dan kebudayaan Islam serta semua warga negara Yugoslavia yang menyokong program dan matlamat parti.


Pada 26 Mei 1990, Perhimpunan Perwakilan SDA telah diadakan. Dewan perhimpunan penuh sesak. Ketakutan lama telah ditukar kepada keterbukaan dan nekad. Aku memulakan ucapan di perhimpunan dengan lafaz bismillah. Aku berbuat demikian kerana dua sebab. Pertama, aku dengan tulus ikhlas berdoa kepada Allah s.w.t. untuk memohon pertolonganNya. Kedua, sebagai tanda kebebasan agama dan isyarat jelas menyanggah regim pemerintahan sedia ada. Sebelum itu, tidak terbayang atau diimpikan untuk mengeluarkan sebarang kata-kata berunsur keagamaan di atas pentas awam. Aku meneruskan ucapan dengan kisah pembebasan, keruntuhan Tembok Berlin, merudumnya sistem komunis dan terbitnya era kebebasan untuk berjuta-juta penduduk dunia. Kesannya amat bersejarah berbandingkan peristiwa-peristiwa besar seperti Revolusi Perancis, penemuan Amerika dan kejatuhan empayar Bizantin.

____________________________________________________________________

Al marhum Alija Ali Izetbegovic terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropah.


Di atas adalah petikan terjemahan yang disuaipadan daripada buku autobiografi beliau bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003.